KOTA BHARU, 15 Mac: Mangsa tembakan di selatan Thailand yang melibatkan remaja dan kanak-kanak baru-baru ini turut mendapat simpati kerajaan serta rakyat Kelantan.
Sehubungan itu Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM19,900 kepada keluarga mangsa terbabit melalui Konsul Thailand di sini, Suraphon Petch-vra.
Sumbangan tersebut dikutip daripada derma orang ramai ketika kuliah mingguan Menteri Besar di Medan Ilmu, baru-baru ini. Menteri Besar berkata, beliau sentiasa mendoakan supaya wujud suasana aman dan harmoni khususnya di empat wilayah di selatan Thailand.
“Sebagai ketua kerajaan saya berpuashati hubungan baik antara Kelantan dan Thailand dan berharap dapat dipertingkat dari semasa ke semasa,” katanya pada majlis ringkas tersebut.
Hadir sama di majlis berkenaan, Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat, Setiausaha Sulit Menteri Besar, Shargowi Derahman dan pegawai Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu.
Pada Januari lalu media melaporkan tentera Thailand menembak mati empat orang termasuk warga tua dan remaja di selatan negara itu yang berada dalam sebuah trak pikap. Mangsa terbabit beragama Islam seorang warga emas berusia 70 tahun dan remaja lelaki berusia 18 tahun antara yang terbunuh, manakala lima lelaki dan kanak-kanak turut cedera.
Sementara itu Suraphon berkata, sumbangan tersebut akan disampaikan kepada pengerusi empat wilayah selatan Thailand untuk disalurkan kepada keluarga mangsa. Katanya juga kerajaan Thailand telah mewujud jawatankuasa khas dalam usaha menyelesaikan krisis yang berlaku di selatan Thai.
“Seluruh rakyat Thailand sama ada Melayu, Siam atau sebagainga adalah rakyat Thailand dan setiap perkara dilaksanakan secara adil.
“Dasar kerajaan sekarang berkata benar walaupun pahit. Sekiranya kerajaan silap mestilah mengaku kesilapan dan perbetulkannya begitu juga rakyat,” katanya. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment