Saturday, March 17, 2012

Zakat M'sia: Nilai Semula Pengurusan -D/Ulama


by Dr Azhari Ariffin

DENGAN memetik ucapan Tuan Guru Presiden PAS, yang disiarkan dalam Harakah, antara lain menyatakan:

“Ibadat zakat sebagai contoh, sepatutnya orang yang mengendalikan wang zakat mengendalikan urusan bagaimana zakat itu sampai kepada sasaran, bagaimana zakat menyelesaikan kemiskinan. Bukan wang zakat dilaburkan untuk dapat untung sebanyak-banyaknya dan tak turun kepada sasaran. Bila zakat dijadikan modal untuk persaingan dalam perniagaan bukan menunaikan tanggungjawab, maka berlakulah pelbagai penyelewengan."

Bertolak daripada kenyataan di atas, Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat ingin mengemukakan beberapa noktah serta isu yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak terutamanya pihak berkuasa dalam melaksanakan amanah zakat yang dihukumkan sebagai salah satu rukun Islam yang lima.

Pertama: Pengurusan Zakat

Pengurusan zakat merangkumi dua aspek penting iaitu kutipan dan agihan. Permasalahan yang timbul ialah sejauh mana sumber perolehan zakat bertepatan dengan ketetapan asal syarak dan adakah mekanisma pengagihannya kepada asnaf selaras dengan nas syarak dan keperluan semasa ummah. Ketidakseimbangan di antara hasil kutipan zakat dan pengagihannya sering berlaku dalam perlaksanaan kedua apsek tersebut.

Kedua: Pelaburan Harta Zakat

Walaupun dalam masalah ini menjadi khilaf dan perbezaan pendapat di kalangan ulama, tetapi isu amanah dan keboleh kepercayaan amat penting menjadi asas. Untuk mengukuhkan lagi jawapan ini, dinukilkan dari Buku Fatwa Zakat Kontemporari, antara lain menyebut: Keputusan Majma’ Fiqh Islami Tahun 1986 ialah harus pada prinsipnya melantik untuk menambahkan lagi aset zakat dengan mempermilikkan kepada golongan yang berhak menerima zakat atau sebagai pelaburan di bawah agensi agama yang dipertanggungjawabkan untuk mengutip dan mengagihkan zakat. Walaupun begitu, hendaklah mempunyai keperluan yang mendesak serta adanya jaminan supaya selamat daripada sebarang kerugian.

Ketiga: Peraturan Pengurusan Zakat

Dr. Yusuf al-Qaradhawi membuat komentar tentang situasi pungutan dan agihan zakat di negara-negara umat islam. Antara lain katanya:

Mengumpulkan penghasilan zakat yang sedikit tidak cukup untuk menangani kefakiran yang tersebar luas dan masalah-masalah sosial yang lahir akibat kefakiran tersebut.

Kelemahan penghasilan ini berlaku kerana beberapa sebab.

  • Yang utamanya ialah lemahnya semangat beragama dan kesedaran orang ramai terhadap Islam hasil serangan pemikiran asing yang kufur.
  • Keduanya, kerana rakyat mengelak diri daripada membayar zakat kepada negara disebabkan banyaknya bebanan cukai yang lain .
  • Ketiganya, kerana hilangnya kepercayaan rakyat terhadap negara-negara yang memungut zakat disebabkan ia tidak menjalankan hukum yang diturunkan oleh Allah.
  • Keempatnya, kerana mereka juga mempercayai bahawa kerajaan mereka tidak akan menyalurkan zakat tersebut pada bentuk yang dianjurkan sepertimana berlaku kepada kebanyakan cukai-cukai yang disalah gunakan penyalurannya.

Majoriti penduduk di negara itu tidak memiliki kekayaan dan tidak mempunyai penghasilan yang bernilai yang boleh menjadi sumber zakat. Inilah kesan daripada cara hidup yang dilalui oleh orang Islam pada zaman ini, iaitu cara hidup orang-orang kafir yang dijejaki oleh orang Islam sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak, nescaya akan diikutinya juga. Cara hidup tersebut ialah berlebih-lebihan dengan kemewahan, penampilan, perhiasan dan permainan haram yang bahan-bahannya diimport dari negara-negara asing, yang melemahkan sumber-sumber dan kekuatan kita, yang tidak mendatangkan manfaat kepada agama dan keduniaan kita.

Penghasilan zakat yang sedikit ini akan dibelanjakan sebahagiannya untuk kegunaan pejabat, peralatan dan para pegawai yang dikhaskan bagi menguruskan kerja mengumpul dan mengagihkan zakat. Ini kerana kerja pentadbiran dan tugas ini adalah sukar. Juga kerana para petugas lebih menitik beratkan kehebatan dan penampilan pengurusan yang menelan harta zakat itu sebelum sampai kepada orang-orang fakir.

Ketika agihan zakat mula tidak terurus di mana kebanyakan orang-orang yang berhak terhalang mendapat zakat, manakala kebanyakan orang yang tidak berhak menerima zakat kerana lemahnya pendidikan, pudarnya iman dan hati yang berpenyakit -sama ada orang-orang yang menjalankan urusan zakat itu atau rakyat- akhirnya natijah zakat dengan sendirinya tidak mampu menutup keperluan orang-orang fakir.

Seterusnya timbullah kebencian masyarakat umum untuk mengeluarkan zakat dan merasakan ianya tidak berfaedah.

Keadaan ini boleh menimbulkan keraguan masyarakat terhadap peraturan Islam seluruhnya.

Dengan contoh ini, jelaslah kepada kita bahawa kemasukan peraturan asing masa kini dalam sebahagian pengajaran dan hukum-hakam Islam tidak menyelesaikan masalah dan tidak merawat penyakit masyarakat dengan sempurna. Sesungguhnya peraturan Islam mewajibkan umatnya memelihara kekayaan dengan membelanjakannya untuk perkara yang bermanfaat.

Semoga respons yang ringkas ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada kita untuk menjadi manusia yang benar-benar menjunjung perintah Tuhan. (Hrkh)

Artikel di atas oleh penulis dan Panel Penyelidik Lajnah Penyelidikan Dewan Ulama PAS Pusat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails