KL, 4 April 12: Pemerhati pilihan raya Bersih 2.0 hari ini mengesahkan mereka akan mengadakan perhimpunan ketiga atau Bersih 3.0 bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih pada 28 April ini.
Perhimpunan yang dijadualkan berlangsung pada jam 2 petang di Dataran Merdeka itu turut akan dijalankan di seluruh negara termasuk juga di beberapa negara di seluruh dunia dengan anggaran seramai 500,000 peserta. Perhimpunan yang bertajuk “Duduk Bantah” itu masih lagi mengekalkan lapan tuntutan daripada perhimpunan sebelumnya pada 9 Julai tahun lalu. Antara tuntutan mereka adalah:
- membersihkan sistem pilihan raya,
- pembaharuan pengundian pos,
- penggunaan dakwat kekal,
- akses media yang adil,
- 21 hari tempoh berkempen,
- pengukuhan institusi awam,
- hentikan rasuah politik,
- dan hentikan politik kotor.
Perhimpunan itu juga adalah lanjutan daripada ketidakpuasan hati pertubuhan tersebut terhadap laporan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan pilihan raya yang telah dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat semalam tanpa dibahaskan.
Pemimpin Bersih ketika sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) di sini berkata, untuk perhimpunan kali ini, pihaknya akan memberikan keutamaan penuh kepada keselamatan peserta.
“Keselamatan peserta akan menjadi keutamaan kami. Malah kami juga akan bekerjasama dengan pihak polis bagi memastikan tahap keselamatan yang paling tinggi ketika perhimpunan berlangsung,” kata Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan.
Sasterawan Negara, yang juga Pengerusi Bersama Bersih, Datuk A. Samad Said, yang turut hadir ketika sidang media tersebut menuntut ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar meletak jawatan kerana gagal menjalankan tugas mereka kepada rakyat.
“(Ketua-ketua) SPR perlu letak jawatan. Mereka bukan bekerja untuk kerajaan, tapi untuk rakyat.
“Kes-kes penipuan terus berlaku, seperti yang kami jelaskan membuktikan kerajaan hari ini tidak bercita-cita mengadakan pilihan raya dengan adil dan bersih,” tegasnya yang yakin Pilihan Raya Umum ke-13 ini akan menjadi medan pilihan raya paling kotor.
“Rakyat akan terus membantah kerana tiada komitmen menambah baik sistem pilihan raya sebelum PRU13,” tambahnya lagi.
Untuk perhimpunan kali ini, Bersih turut menerima penyertaan daripada Himpunan Hijau dan kumpulan mahasiswa, wakil Bersih dari Sabah dan Sarawak, termasuk 84 badan bukan kerajaan (NGO) lain yang mempunyai matlamat yang sama.
Selain itu, mereka turut melancarkan laman web www.pru13.info bagi membolehkan rakyat memantau proses pilihan raya bermula dari saat pembubaran Parlimen hingga proses pembuangan undi yang dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi.
Ambiga turut menegaskan, pihaknya akan menghantar laporan mingguan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang berpengkalan di Geneva berhubung proses menuntut pilihan raya yang adil dan bersih itu. (Sumber MI)
No comments:
Post a Comment