Wednesday, April 25, 2012

ISA Mansuh, Mangsa Ini Masih Ditahan. Bantulah!


Harakah bantu keluarga ISA di Tawau

TAWAU 25 Apr 12: Prihatin dengan nasib keluarga tahanan ISA, Harakah sekali lagi telah menyerahkan bantuan kepada 12 keluarga mangsa di sini dalam satu majlis ringkas anjuran PAS Tawau dekat sini petang tadi.

Sumbangan disampaikan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman kepada isteri dan ibu mangsa yang rata-ratanya ditahan kononnya terlibat dengan jemaah Darul Islam.

Harakah menghulurkan sumbangan berupa wang tunai RM1500 setiap seorang mangsa manakala RM4000 bantuan tambahan diserahkan kepada Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Zaitun Ahmad. (Gambar)

Jumlah kesemua bantuan bernilai RM23,000 adalah hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Mansuhkan Isa kendalian Harakah.

Ibu kepada seorang mangsa tahanan (Shamsuddin Alip), Aminah Dalat yang ditemui selepas majlis tersebut berkata, pihaknya amat bersyukur atas bantuan yang dihulur Harakah dan PAS Tawau.

Aminah yang hilang tempat bergantung kerana anaknya kini masih ditahan dibawah ISA menganggap bantuan itu amat berharga buat keluarganya yang dalam kesusahan.

Kakak Shamsuddin, Nikma Alip pula melahirkan rasa kecewa dengan tindakan zalim kerajaan menahan adiknya dibawah ISA.

Walaupun akta itu sudah dimansuhkan, kata Nikma, ISA masih menzalimi rakyat.

Kepada mereka yang prihatin dan mahu menghulurkan bantuan, bolehlah memberi sumbangan ke akaun Maybank 5640 7000 0336 atas nama Harakahdaily Dot Com. (IH/Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails