Friday, April 27, 2012

Kelantan sedia RM5 juta untuk aktiviti sukan



 




KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memperuntukkan sejumlah RM5 juta untuk aktiviti kesukanan di negeri itu, melalui Urusetia Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, memandangkan ianya aktiviti penting yang perlu didedahkan pada masyarakat.

Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata ianya bagi memenuhi keperluan anak muda Kelantan khususnya peminat sukan agar terus aktif dalam bidang itu.

Katanya, lagipun aktiviti sukan yang tidak bercanggah dengan Islam digalakkan seperti berenang, memanah, menunggang kuda atau berlari kerana ianya dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan.

“Murninya kegiatan sukan ini, Rasulullah s.a.w. sendiri pernah mengadakan pertandingan larian dengan isterinya Aisyah.

“Ianya bukan sahaja membuktikan kepada kita aktiviti itu boleh dilakukan, sebaliknya mengukuh kasih sayang antara suami isteri,” ujarnya.

Bagaimanapun, tambahnya ianya mesti selari dengan tuntutan syariat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian watiqah jemputan kerajaan Kelantan ke Sukma ke-14.

Kunjungan Kerajaan Pahang yang diketuai Exco Pahang Datuk Mohammad Sahfri Ab.Aziz untuk menjemput peserta Kelantan turut menyertai Sukma ke-14 yang bakal diadakan di negeri itu

Hadir sama pada majlis itu, anggota exco kerajaan negeri Datuk Abdul Fatah Mahmood.

Katanya, Kelantan memberi perhatian khusus terhadap kesukanan kerana ianya penting untuk kesihatan tubuh manusia, apa lagi ianya juga menjadi minat Rasulullah.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri akan menyediakan Kompleks Sukan di Pasir Putih bagi menempatkan masyarakat bersukan,” ujarnya.

Turut hadir dalam siri jelajah negeri sempena Sukma itu, peserta motosikal berkuasa tinggi yang memakai baju berwarna kuning. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails