KL 3 Apr 12: Lonjakan mendadak bilangan pengundi bukan sahaja berlaku di kerusi yang diwakili Pakatan Rakyat, tetapi juga di kerusi BN, antaranya Parlimen Gua Musang dan Pekan.
Ia adalah antara 17 kawasan parlimen yang mencatatkan peningkatan lebih daripada 20 peratus bilangan pengundi sejak pilihan raya umum 2008.
Peningkatan tersebut, yang melebihi purata nasional sebanyak 13.8 peratus, dikesan dalam daftar pemilih yang dikemaskini pada suku akhir 2011.
Daripada 17 kerusi tersebut, sembilan dimenangi Pakatan dalam pilihan raya umum lalu - Bukit Gantang (kekal disandang Pakatan dalam pilihan raya kecil pada 2009), Gopeng, Hulu Selangor (dirampas kembali BN dalam pilihan raya kecil pada 2010), Selayang, Hulu Langat, Serdang, Puchong, Subang dan Kota Raja.
Tujuh lagi kerusi ialah di negeri Selangor yang ditadbir Pakatan, masing-masing tiga di Perak dan Johor, dua di Pahang dan masing-masing satu di Kelantan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Lonjakan bilangan pengundi di Gua Musang dan Pekan dilihat sebagai satu kejutan, kerana kedua-dua kawasan pilihan raya itu terletak di kawasan luar bandar dengan pertumbuhan penduduk yang perlahan. Di samping itu, ia merupakan kubu kuat BN yang dijangka tidak berdepan dengan persaingan politik yang sengit.
Di Gua Musang, yang terletak di negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS, bilangan pengundinya telah bertambah sebanyak 8,273 orang atau 28.5 peratus dalam tempoh tiga tahun yang lalu, menjadi jumlah pengundi keseluruhannya meningkat daripada 28,986 kepada 37,259 orang.
Ia telah diwakili pemimpin veteran Umno dan bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah sejak tahun 1969. Beliau mengekalkan kerusi itu pada 2008 dengan majoriti 4,394 undi, untuk penggal kesembilan sebagai ahli parlimen.
Beberapa pemimpin akar umbi Umno di Gua Musang telah menggesa Tengku Razaleigh berhenti bertanding di situ, dengan mendakwa beliau tidak lagi mempunyai pengaruh. Beliau juga telah menyokong pembangkang dalam isu-isu tertentu seperti bayaran royalti minyak kepada Kelantan dan penyenaraian Felda.
Di Pekan pula, peningkatan bilangan pengundi bermula awal tahun lepas. Ini adalah sebuah pekan luar bandar yang dipenuhi dengan kilang industri berat. Pada 31 Disember 2011, ia mempunyai 76,741 pengundi - lonjakan yang menakjubkan seramai 18,524 orang atau 31.8 peratus sejak 2008.
Kerusi ini diwakili Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak selepas beliau menggantikan bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.
No comments:
Post a Comment