Friday, April 20, 2012

MAINPP, Akui Silap, Syabas! Kosongkan Segera..

Ustaz Saleh Man, tiga dari kiri..
SHAH ALAM 20 Apr 12: MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang), Pas Pulau Pinang turut memuji dan menghargai tindakan berani Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengakui kesilapan yang berlaku.

Dewan Pemudanya mencadangkan agar Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Kassim mengosongkan kerusi Yang Dipertua (YDP) MAINPP dalam kadar segera sama ada meletakkan jawatan atau menolak pelantikannya ke jawatan itu.

Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Abdul Malik dicadangkan berbuat demikian sementara menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melantik Pesuruhjaya Pas Negeri itu, Datuk Mohd Salleh Man bagi menggantikan beliau.

“Tindakan ini sangat wajar bagi menunjukkan sifat bertanggungjawab atas kesilapan kerajaan negeri seperti yang diakui, di samping menambah keyakinan rakyat dan kepercayaan pengundi terhadap janji pilihan raya ketika pilihan raya kecil Permatang Pasir yang lalu.

“Ia juga akan menambah baik imej Abdul Malik selaku ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang diberi amanah portfolio agama, sekali gus imej Pakatan Rakyat itu sendiri terutamanya di Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Kerajaan Negeri mengakui telah melakukan kesilapan dengan mencadangkan nama Abdul Malik sebagai YDP MAINPP walaupun sebelum ini Pakatan Rakyat (PR) pernah berjanji akan menamakan Mohd Salleh.

Ini bermakna Kerajaan Negeri telah mempersembahkan dua nama calon YDP MAIPP secara serentak tetapi pada masa yang berlainan. Pada masa yang sama, nama Abdul Malik telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum nama Mohd Salleh dipersembahkan.

Kesilapan ini telah diakui sendiri oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mansor Othman seperti yang dilaporkan media pada hari ini.

“Kerajaan Negeri juga difahamkan telah memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjelaskan kesilapan ini dan sedang menunggu perkenan menghadap tersebut.

“Atas dasar semangat setia kawan Pakatan Rakyat yang diamalkan, Pas Pulau Pinang turut memuji dan menghargai tindakan berani Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengakui kesilapan yang berlaku dalam isu ini,” katanya.

Afnan Hamimi berkata, inilah 'contoh hidup' dan menunjukkan slogan 'CAT- Cekap, Akauntabiliti dan Telus' bukan sahaja dilaungkan, bahkan dipraktikkan serta tetap terus diamalkan walaupun kadangkala ia pahit.

Ujar beliau lagi, ia juga adalah selaras dengan tuntutan Islam supaya kita mengakui kesilapan dan memohon maaf jika membuat sesuatu kesilapan. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails