Monday, April 16, 2012

Mansuh ISA, Tidak Perlu Akta Baru - GMI

Syed Ibrahim [kiri] dalam sidang medianya di Parlimen hari ini
KL 16 April 12: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tetap berpendirian Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus dimansuhkan terus tanpa diganti dengan akta baru.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) tidak perlu kerana Parlimen Malaysia telah menambah undang-undang termasuk kesalahan berkaitan keganasan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada 2006.

Beliau berkata, akta baru ini sama dengan ISA yang terdedah kepada ruang penyalahgunaan oleh pihak berkuasa.

"Walaupun tempoh masa penahanan oleh polis telah dipendekkan dari 60 hari di bawah ISA kepada 28 hari dan ia boleh dikaji semula setiap lima tahun serta tidak dipakai melainkan pelanjutannya diluluskan oleh Parlimen, namun terdapat beberapa masalah besar yang perlu ditimbulkan," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, tafsiran 'Kesalahan Keselamatan' itu terlalu luas dan samar.

"Penahanan seseorang sehingga 28 hari tanpa dibawa ke mahkamah hanya atas dasar syak wasangka bahawa seseorang itu terlibat dalam kesalahan keselamatan akan membenarkan ruang penyalahgunaan kepada polis dan membawa kepada penahanan sewenang-wenangnya sebelum siasatan benar-benar dilakukan," katanya yang ditemani Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution.

Tambahnya, hak kepada polis untuk menangguhkan akses kepada peguam sehingga tidak melebihi 48 jam juga membuka ruang penyalahgunaan kuasa.

Selain itu katanya,penggunaan peralatan pengawasan elektronik walaupun seseorang telah dibebaskan adalah bercanggah dengan hak kebebasan bergerak dan privasi seseorang warganegara dan prinsip seseorang itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

GMI juga mengingatkan rakyat bahawa ISA masih belum dimansuhkan dan tertakluk kepada kelulusan rang undang-undang baru.

"GMI amat berharap akta baru tersebut didebatkan dengan sewajarnya di Parlimen dengan mengambilkira pendirian GMI dan badan-badan hak asasi antarabangsa," katanya. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails