Saturday, April 07, 2012

Novel 'Jihad Mardina': Unt Miskin Iman Mewah Dunia

Novel terbaru Rohani menyajikan “dakwah” yang kena pada tempatnya.

7 APRIL 12 : Nama Rohani Deraman memang sudah “melonjak naik” sejak 15 Ogos 2011 apabila beliau berani tampil mendedahkan bahawa penerbit tidak mahu membayar walau satu sen selepas cerpen dan novelnya diangkat menjadi teks Komsas.

Di sisi lain, penulis sepenuh masa kelahiran Pasir Putih, Kelantan yang kini menetap di Johor Bahru, Johor terus tekun menghasilkan karya-karya kreatif, khususnya novel.

Buku terbaru Rohani yang menggunakan nama pena “Fida Rohani” ialah “Jihad Mardina” (2012) dan saya menerima senaskhah novel itu semasa pertemuan kami pada 19 Februari 2012 untuk membincangkan perkembangan isu royalti teks Komsas.

Apa yang menarik perhatian saya terhadap novel setebal 546 halaman ini adalah bahawa “jihad” dan “dakwah” yang dilakukan oleh watak-watak dalam novel ini — serta oleh pengarang menerusi novel ini — bukan kepada “orang luar”.

Sering kali, saya secara peribadi menjadi amat menyampah membaca sekian banyak karya (cerpen dan novel) berunsur Islam yang bagaikan berkhutbah dan berdakwah secara langsung kepada orang “Bukan Islam”.

Misalnya, sebuah cerpen yang saya baca pada Februari lalu menampilkan suatu watak yang berasa amat bangga kerana “berjaya menerbitkan keragu-raguan yang munasabah dalam perasaan dan fikiran” satu lagi watak Bukan Islam. Pada saya, dakwah seperti itu amat bertentangan dengan ajaran sebenar Islam.

Rohani pula berjaya mengangkat martabat “seni berdakwah” menerusi novel ini apabila kumpulan sasaran yang perlu “didakwahkan” adalah orang Islam sendiri.

Penulis tidak pula menggunakan cara, teknik dan olahan konvensional dalam menjayakan misi itu. Sebaliknya paparan yang disajikan amat segar dan sangat menyentuh jiwa.

(Rohani) — Rohani berani mendedahkan penipuan dalam royalti teks Komsas melibatkan karyanya.

Kehadiran watak-watak Datuk Iskandar dan Datin Marisa mungkin kelihatan agak “skema” tetapi kisah sepenuhnya yang dipaparkan tetap membawakan sesuatu yang baru.

Seperti diakui oleh Rohani, belakangan ini banyak kes ibu bapa disisihkan anak-anak, serta anak-anak dipinggirkan ibu bapa atas pelbagai alasan.

“Semuanya kerana kemunduran iman yang semakin melata dalam generasi manusia yang semakin maju. Maka, saya terpanggil untuk menulis apa yang amat menyentuh sensitiviti masyarakat kita,” katanya.

Kisah keluarga yang disulami pelbagai masalah, cabaran dan rintangan dipaparkan dengan penuh kreatif sehingga pembaca mampu menghayati sepenuhnya pengalaman yang dilalui oleh watak-watak dalam novel ini.

Selain daripada Mardina sebagai watak utama dalam novel ini, satu lagi watak penting yang perlu diberi perhatian adalah Siti Fatimah, seorang mualaf yang memeluk Islam kerana cinta terhadap agama itu, bukan kerana cinta terhadap kekasih.

Rohani ternyata membuat kajian mendalam terhadap pelbagai isu semasa, al-Quran, hadis serta merujuk pakar bidang dalam menghasilkan novel Islamik ini yang sebenarnya sesuai untuk bacaan umum.

Bagi pembaca beragama Islam yang “miskin iman tapi mewah dunia” pula, novel ini mampu memberi peringatan penting: “andai tiba-tiba sakratul maut datang menjemput sedangkan lafaz taubat tidak sempat diucapkan”.

* Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97 & 1998/99). Beliau juga kolumnis di The Malaysian Insider.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails