GHADDAR (kiri) dicabar kapten Sime
Darby, Es Lizuan Zahid pada aksi final Piala FA 2012 di Stadium
Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
SUKAN
KEMASKINI "Semoga The Red Warrior dapat pulang dengan kejayaan unggul menggenggam piala FA 19 Mei ini... yang penting permainan biarlah bersemangat, penonton pula jagalah akhlak dan peribadi sesuai dengan semangat kesukanan" Demikian harapan dan doa Tok Guru Nik Aziz MB Kelantan.
Maka ternyata Keantan muncul juara Piala FA selepas menewaskan Sime Darby 1-0 pada aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Penyerang import, Muhamad Ghaddar muncul watak utama di sebalik kejayaan manis Kelantan itu apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-59 menerusi sepakan penalti.
Sepakan penalti itu berpunca selepas tonggak pertahanan Sime Darby, menolak pemain Kelantan, Obinna Nwaneri dalam kotak penalti.
Ghaddar yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti itu mudah menolak masuk bola ke gawang Sime Darby yang dikemudi penjaga gol, Mohd. Redzuan Harun. Jaringan tunggal penyerang kelahiran Lebanon itu sudah cukup buat Kelantan memadam kekecewaan sebelum ini apabila tewas dalam aksi final Piala FA edisi 2009 dan 2011.
Pada 2009, Kelantan tewas 1-4 kepada Selangor pada penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan. Musim lalu, Kelantan terus kempunan mendakap Piala FA apabila tewas 1-2 kepada jiran tetangga, Terengganu pada aksi final penuh dramatik di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kejayaan Kelantan menjulang Piala FA yang baharu itu malam tadi diraikan bersama kira-kira 67,000 penyokong setia The Red Warriors yang hadir ke stadium. Pada aksi itu, rentak permainan seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan sepanjang babak pertama berlangsung.
Bagaimanapun, Sime Darby terlebih dahulu menguji benteng Kelantan apabila percubaan Azmirul Azmi seawal minit kesembilan berjaya dinafikan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat. Kelantan menerima tamparan apabila tonggak pertahanan, S. Subramaniam terpaksa dikeluarkan apabila mengalami kecederaan di bahagian kepala selepas bertembung dengan penyerang Sime Darby, Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-28.
Peluang terbaik Kelantan untuk mencipta jaringan hadir menerusi kapten, Mohd. Badhri Radzi, namun bola tandukannya pada minit ke-36 gagal menerjah gawang Sime Darby. Bersambung babak kedua perlawanan, Kelantan terus melancarkan serangan bertali arus ke kubu Sime Darby bagi memburu gol.
Akhirnya gol yang dicari-cari menjelma pada minit ke-59 hasil sepakan penalti Ghaddar. Tersentak dengan gol tersebut, Sime Darby mula mengatur rentak lebih kemas bagi mencari gol penyamaan. Bagaimanapun, beberapa peluang yang terhidang gagal diterjemahkan dengan baik. Kelantan hampir menggandakan jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin, namun percubaannya pada minit ke-85 dinafikan Mohd. Redzuan.
Sementara itu sebentar tadi, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak negeri itu yang berjaya merangkul Piala FA pada perlawanan akhir, malam ini.
“Tahniah diucapkan atas kejayaan pasukan The Red Warriors yang telah berjaya menjuarai Piala FA sebentar tadi,” tulisnya dalam Facebook beliau.
Pemuda PAS Kelantan juga merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan bola sepak Kelantan The Red Warriors.
"Saya mengira bermula dari pemain, jurulatih, pihak pengurusan bahkan pegawai-pegawai KAFA berhak untuk diberikan penghargaaan di atas kejayaan yang bersejarah ini," kata ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman.
Para penyokong Kelantan di Stadium Bukit Jalil malam tadi
Pasukan Kelantan menjulang piala FA
Al-hamdulillah dan tahniah dari Weblog Ibnu Hasyim. (IH)
Klik Video ini..
No comments:
Post a Comment