Tuesday, May 15, 2012

Hari Nakbah 2012, Jihad Bebaskan Palestin!


Kami menegaskan tahun 2012 seharusnya diisytiharkan tahun dilancar jihad fisabilillah membebaskan Palestin.

Ketegasan kami beralasan. Setelah sekian lama masalah Palestin menjadi seolah barah yang tidak boleh dirawat, maka tidak ada lagi pendekatan yang boleh dipilih selain dari jihad.

Ketika kami melihat pelbagai kenyataan dan sejumlah resolusi diluncurkan PBB sejak Perjanjian Oslo 1993 dimeterai sehingga sekarang, Israel tidak pernah tunduk kepada sebarang bahasa diplomatik.

Malah yang dilakukan oleh Israel lebih ganas dari sebelumnya. Dari pembesaran kawasan kediaman Yahudi di tanah Palestin yang hanya tinggal 22% dari asal sehingga  melancarkan serangan militeri berterusan ke atas Tebing Barat dan Gaza, membunuh, memusnah dan merampas hak rakyat Palestin. Israel tidak sedikitpun gugur cirinya sebagai negara teroris.

Kami menegaskan Zionisme tidak mengenal erti taat kepada sebarang perjanjian. Sejarah jelas memperlihatkan Yahudi Zionis bukan sahaja melanggar perintah Allah malah sanggup membunuh Nabi-nabi Allah.

Inilah hakikat yang perlu diterima oleh pejuang pembebasan Palestin dan Masjid Al Aqsa bila berdepan dengan Zionis Yahudi.

Sejak tanah Palestin dirampas pada tahun 1948, baki kawasan yang tersisa untuk rakyat Palestin hanya tinggal tidak sampai 22% sahaja, itupun kawasan ini terdedah kapada pencerobohan dan bedilan bom dari jet pejuang.

Perjuangan Yasser Arafat untuk menuntut sempadan tanah sebelum 1967 seluas 44% dari kawasan Palestin yang asal tidak kesampaian, kini Mahmud Abbas menagihkan kawasan yang jauh lebih kecil untuk Palestin.

Tuntutan ini juga tidak dilayan malah sehingga bulan September 2011, proposal untuk Palestin diterima sebagai anggota penuh dalam PBB masih tergantung kerana 126 negara yang menyokong, kurang dua lagi undi untuk diluluskan dalam Sidang Umum PBB.

Malah Majlis Keselamatan sendiri tidak dapat menjaminkan kemasukan penuh Palestin sebagai anggota penuh PBB. Sehingga ini sebahagian anggota-anggota yang ada sekarang dalam Majlis Keselamatan ialah Bosnia dan Herzegovina , Inggeris, Perancis, Gabon, German, India, Nigeria dan Portugal yang masih belum menentukan sikap.

Jelas umat Islam tidak dapat berharap kepada PBB. Resolusi 181 yang dikeluarkan pada 29hb September 1947 yang mengisytiharkan kewujudan Israel adalah titik bermulanya musibah yang sambung-menyambung ke atas rakyat Palestin. Tanah Palestin dibahagi dua: untuk Yahudi 53% dan untuk Arab 43%. Pokoknya PBB telah menerima penjajahan.

Kejahatan global yang diterajui oleh Israel dan didukung oleh US tidak dapat dicabar dengan efektif oleh bahasa diplomatik. PBB yang lebih merupakan pertubuhan pengumpul resolusi paling maksima hanya mampu mengeluarkan kecaman, kritikan, dan kata-kata ultimatum yang tidak pernah dihiraukan oleh Israel.

Resolusi 106 dikeluarkan pada 29hb Mac 1955 yang mengutuk serangan Israel ke atas Gaza, Resolusi 111 dikeluarkan kerana mengutuk serangan Israel yang menyerang Syria, Resolusi 162 yang mendesak Israel mematuhi keputusan PBB, Resolusi 237 yang mendesak Israel membenarkan pelarian Palestin kembali ke tanah air mereka seperti sebelum 1967 dan banyak lagi.

Kami menyeru agar semua Persidangan Khas yang diadakan saban tahun oleh pelbagai pihak mengenai Palestin dan Al Quds menghantar suatu semboyan jelas iaitu Jihad Membebaskan Palestin dan Al Aqsa.

Peredaran masa 64 tahun sudah terlalu lama. Israel yang merupakan proksi US dalam merekayasa hegemoni kuasa Barat ke atas politik Asia Barat sangat terang dan jelas. Untuk mengharapkan negara-negara Barat mengembalikan hak Palestin adalah suatu kemustahilan. Malah untuk bergantung kepada pemimpin negara umat Islam yang terikat dengan kuasa Barat juga tidak menjanjikan harapan.

Kuasa sebenar berada dalam tangan umat Islam sendiri. Umat Islam yang tersusun dalam pelbagai organisasi massa dan NGO harus menggembleng seluruh tenaga dan sumber untuk melancarkan jihad dalam semua bidang untuk mengembalikan bumi Palestin dan Al Quds kepada kaum Muslimin.

Jihad ekonomi dengan melancar boikot kepada semua produk dan perkhidmatan yang secara langsung berkait dengan Israel. Ini termasuk seluruh syarikat yang berpengkalan di Israel.  Tindakan memutuskan sebarang hubungan perdagangan dalam apa bentuk sekalipun hendaklah dilancarkan secara efektif.

Jihad sosial dengan memboikot seluruh acara sosial dan institusi sosial seperti universiti dan sebarang institusi yang yang berkait dengan pembangunan sosial. Ini termasuk dalam acara sukan dan industri hiburan.

Jihad politik iaitu melumpuhkan seluruh perjanjian yang dimeterai oleh negara dengan Israel dalam apa sahaja bidang perhubungan politik dan diplomatik.

Jihad ketenteraan dengan mendesak pemerintah negara-negara umat Islam menghantar tentera Islam ke Palestin untuk merampas kembali bumi Palestin yang ditakluki Yahudi Zionis.

Jihad teknologi iaitu dengan memastikan segala teknologi maklumat yang ada diguna untuk melancarkan serangan maklumat terhadap Israel. Teknologi maklumat perlu digunakan semaksimanya untuk mendedahkan persekongkolan antara US , British dan Israel.

Untuk semua medan jihad ini kami menegaskan bahawa sudah sampai masanya seluruh NGO dan gerakan Islam antarabangsa menumpukan seluruh tenaga dan sumber ke arah pembebas Palestin. Kekuataan kepakaran dan jaringan organisasi sosial, ekonomi, politik, gerakan alam sekitar, hak asasi manusia, undang-undang hendaklah dipusatkan sehingga realisasi pembebasan Palestin dapat dicapai.

Sempena peringatan Hari Nakbah 2012 ini kami mengesa bahawa mesej jihad sebagai satu- satunya jawapan kepada penaklukan Israel terhadap Palestin akan tercapai. Sindrom meluncurkan resolusi dan kata- kata tidak lagi boleh diharap lagi untuk membebaskan Palestin melainkan hanya dengan aksi jihad.

Abdul Ghani Samsudin
Pengerusi SHURA
 
Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agung MAPIM
 
Datin Aminah Zakaria
Yang Dipertua SALIMAH

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails