Friday, May 18, 2012

Indo Layan Adil Semua P/Pembangkang -PPP Riau


 KOTA BHARU: Kerajaan Indonesia memberi layanan sama rata kepada semua parti-parti pembangkang di negara terbabit bukan hanya kepada parti yang mendokong pemerintah.

Ketua Dewan Perwakilan Wilayah PPP, Provinsi, Riau, H. Azis Zaenal SH MM, berkata walaupun hanya partinya satu-satu yang memperjuangkan Islam di Indonesia, namun kerajaan memberi layanan sama adil.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bagi mengulas berhubung perkara itu di negaranya selepas mendengar taklimat dari Timbalan Speakar Dun, Ahmad Zaki Ibrahim, di JKR 10, di sini tengahari tadi.

Seramai 46 orang rombongan dari parti itu di mana 26 orang daripadanya wakil rakyat melakukan lawatan rasmi ke negeri ini selama dua hari bermula hari ini.

Tanpa menyebut secara jelas parti yang memerintah negara ini, beliau seterusnya mengharapkan layanan yang adil juga diberikan kepada pembangkang di negara ini dalam segala bidang demi untuk rakyat.

“Tidak adil kiranya kerajaan pembangkang dianaktirikan, sebab yang menghadapi masaalahnya adalah rakyat,” ujarnya.

Sambungnya sebagai pemerintah negara, mereka perlu melihat lebih jauh ke hadapan adakah tindakan yang diambil itu wajar atau sebaliknya kerana bimbang menerima kesan yang tidak pasti masa hadapan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut berhubung pentadbiran Kelantan yang dinafikan haknya sejak 22 tahun lalu kerana kurang mendapat penjelasan berhubungnya.

Namun baginya  PAS adalah sebuah parti Islam yang wajar dihormati kerana ianya dipimpin oleh ulama’.

Sementara itu, Seketariat DPC PPP. KAB Kampar, Hendra Yani, mengakui sepanjang sehari berada di negeri ini begitu aman sehingga menganggap negeri ini begitu hebat.

Sambungnya, perjuangan yang telah dilalui oleh PAS hingga memenangi Kelantan sejak 22 tahun lalu akan dijadikan contoh untuk partinya di Riau Indonesia.

Sebelah pagi rombongan ini dibawa melawat pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam dan petangnya pula mendengar taklimat khas dari Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan, Wan Nik Yusof. (Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails