Wednesday, May 09, 2012

Khalwat: Beego Tak Mengaku Salah. Mengapa?



KL: Penyanyi dan pelakon Beego (gambar) bersama dua rakannya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan khalwat yang dikenakan terhadap mereka di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, Selasa.

Beego atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah,32, bersama Fikry Zainon dan Mohd Arsli Meor Atan Ahmad membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin.

Sementara itu dua wanita yang merupakan kenalan mereka iaitu Azlina Yazit @ Aziz dan Hadijah Mohamad Mokhar mengaku bersalah dan dikenakan denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar denda.Kedua-dua mereka bagaimanapun membayar denda.

Mengikut fakta kes, kelima-lima tertuduh ditahan sekumpulan Pegawai Penguatkuasa Agama pada 23 Februari 2011 kira-kira pukul 6 pagi di sebuah rumah di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang dekat sini. Kesemua mereka masing-masing didakwa di bawah Seksyen 29 (1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana berkhalwat yang boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Kelima-lima tertuduh hadir selepas mahkamah mengeluarkan waran tangkap kerana gagal hadir sebutan kes berkenaan pada 10 April lalu. Beego yang merupakan seorang duda pernah berkahwin dengan Intan Shariza Mohd Shahru,31, tetapi berpisah pada 16 Mac 2009 selepas dua tahun menjadi suami isteri.

Terdahulu Shaiful Azli turut menasihati dua wanita berkenaan agar bertaubat atas perbuatan itu kerana Allah memberi mereka ujian untuk menyedari kesilapan yang dilakukan. “Saya ingin petik nasihat Saidina Umar, sekiranya kesalahan itu adalah perbuatan pertama, Allah akan menutup aib kamu tetapi jika ia dilakukan berulang kali, maka Allah sendiri akan membuka aib itu. Jadi, pilihlah untuk kehidupan lebih baik selepas ini,” katanya.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie, Hasrul Hafiszi Ahmad Kamal. Mahkamah bagaimanapun menetapkan 26 Jun 2012 untuk perbicaraan Beego bersama dua rakan lelakinya itu.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Lima ditangkap di bawah tuduhan khalwat, di tempat yang sama, kesalahan yang sama. Tidak hadir mahkamah, hingga keluar waran tangkap. Mengapa jadi begini? Apakah kerana mahkamah syariah lebih rendah tarafnya dari mahkamah biasa?

Kerana itu, Mahkamah Syariah perlu diperjuangkan supaya naik taraf, berwibawa dan diperluaskan fungsinya, biar sejajar atau tertinggi sesuai dengan kesyumulan  Islam, agama bagi Persekutuan. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails