|
RUMAH banglo seorang janda tua yang
terletak tidak jauh dari Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur telah
dijual untuk mendapatkan wang bagi diserahkan kepada anggota sindiket
penipuan. - Gambar hiasan
KL: Menurut Kosmo hari ini, demi cinta terhadap seorang 'Jeneral Tentera Amerika Syarikat' yang dikenali menerusi internet, seorang janda tua sanggup menjual harta dan menyerahkan wang miliknya yang kesemuanya berjumlah RM5 juta kepada kekasihnya itu yang merupakan ahli sindiket penipuan.
Ibu tunggal warga tempatan berusia 63 tahun itu mengenali suspek pada 2010 menerusi satu ruangan sembang sebelum mangsa dijerat dengan kata-kata manis warga asing itu yang dipercayai didalangi oleh warga negara Afrika. Mangsa yang memiliki sebuah firma audit di ibu negara dipercayai turut tergoda dengan ahli sindiket itu selepas suspek menunjukkan gambar-gambar wajahnya yang kacak dan mendakwa berusia 50-an.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany berkata, dalam perkenalan itu, suspek mengambil kesempatan menawarkan peluang pelaburan di luar negara kononnya menjanjikan pulangan berlipat ganda. Mangsa yang teruja untuk mendapat kekayaan segera telah menyerahkan wang walaupun tidak pernah menemui suspek.
"Kesemua wang tersebut dimasukkan secara berperingkat sebanyak 30 kali ke dalam beberapa akaun sebelum wang itu dipindahkan ke akaun sindiket," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Izany, kali terakhir mangsa membuat transaksi sebanyak RM50,000 ke dalam akaun suspek adalah pada Ahad lalu.
RAMPAS...Izany (tengah) menunjukkan barangan yang dirampas daripada sindiket.
Sementara itu menurut myMetro melaporkan, “Tak sanggup lihat ibu ditipu lagi,” kata seorang lelaki mengenai ibunya yang terjebak dengan sindiket penipuan Afrika sehingga kerugian lebih RM5 juta dan kehilangan pelbagai harta benda.
Lelaki dikenali sebagai Zam, 30, berkata, dia membuat laporan polis mengenai perkara itu pada September tahun lalu dan sangat bersyukur selepas mendapat tahu kejayaan polis menahan 16 individu dipercayai anggota sindiket Afrika yang terbabit menipu ibunya, tiga hari lalu.
“Saya mula mengesyaki sikap ibu yang berubah sejak dua tahun lalu selepas berkenalan dengan seorang lelaki kononnya pegawai tentera berpangkat ‘jeneral’ dari Amerika Syarikat yang pernah bertugas di Iraq melalui laman sembang di Internet.
“Ibu sering mengeluarkan wang simpanannya dalam jumlah yang banyak dengan alasan mahu melabur dalam perniagaan dijalankan pegawai tentera terbabit.
“Menyedari kewujudan sindiket penipuan warga Afrika yang berleluasa di Malaysia ketika itu, saya cuba menasihati ibu berkali-kali, namun dia tetap mempercayai lelaki terbabit,” katanya, semalam. (IH)
No comments:
Post a Comment