Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata bahan kempen seperti itu tidak sesuai digunakan dan dilihat sebagai tidak serius untuk bertanding pada pilihan raya.
"Pilihan raya ini satu aktiviti yang serius dan kami tidak boleh benarkan parti-parti politik mempamerkan bahan kempen yang memperlekehkan seseorang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberi taklimat pilihan raya kepada Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) peringkat negeri Johor di Senai hari ini.
SPR akan menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 4(a) Akta Pilihan Raya 1994 untuk menanggal atau menurunkan mana-mana poster atau sepanduk seperti itu pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Wan Ahmad berkata keputusan itu adalah untuk menjaga imej pemimpin dan calon yang bertanding di samping mewujudkan disiplin dalam pemasangan poster pada pilihan raya umum itu nanti.
Sementara itu sebanyak 26 PPPKR diwujudkan di semua kawasan Parlimen di Johor bagi memantau dan menjalankan penguatkuasaan ketika tempoh kempen pilihan raya umum ke-13.
Johor mempunyai 1.5 juta pengundi berdaftar, katanya. - Bernama
Komen Seorang Peguam (Dr Zulqarnain Lukman/Hrkh)):
Beberapa laporan akhbar pada 31 Mei (hari ini) menyiarkan berita bahawa Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyatakan bahawa gambar karikatur tidak dibenarkan sepanjang tempoh kempen PRU 13 nanti. Dalam respon segera oleh kartunis terkenal, Zunar beliau mengatakan bahawa beliau akan terus berkempen menggunakan karikatur.
Pertamanya, agak tidak tepat laporan Utusan dan Bernama itu kerana semakan saya mendapati tidak wujud Akta Pilihan Raya 1994. Yang ada adalah Akta Pilihan Raya 1958. Tetapi kandungan seksyen 4(a) itu tidak menjurus kepada maksud pengharaman itu. Saya fikir mungkin wartawan tersalah dengar atau tersalah catat. Yang sebenarnya mungkin seksyen yang menjadi taruhan Timbalan Pengerusi SPR adalah seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Seksyen tersebut menyatakan:
Kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan
4A. (1) Mana-mana orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, melakukan apa-apa perbuatan atau membuat apa-apa pernyataan dengan tujuan atau dengan kecenderungan untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau pemusuhan antara orang yang terdiri daripada kaum yang sama atau kaum yang berlainan atau daripada golongan yang sama atau golongan yang berlainan penduduk Malaysia untuk mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi dalam sesuatu pilihan raya atau untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan mana-mana orang dipilih boleh, apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.
Seksyen ini tidak menyatakan samada karikatur atau banner atau poster atau gambar yang menjadi kesalahan. Yang menjadi kesalahan adalah mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara kaum yang sama atau berlainan. Justeru, hujah Timbalan Pengerusi SPR itu jelas tidak relevan.
Selain itu, apakah yang dimaksudkan 'mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan'. Apakah karikatur sahaja sudah cukup untuk mengembangkan perasaan jahat. Bagaimana pula dengan anak-anak kita. Nampaknya semasa musim pilihan raya nanti anak-anak sudah tidak boleh melihat karikatur di televisyen lagi jika ini tafsiran SPR. Sebab itu, saya mendapati hujah Timbalan Pengerusi SPR itu amat tempang. Itu belum lagi dipersoalkan apakah kuasa SPR untuk memberikan takrifan kepada seksyen 4A ini kerana setahu saya, hanya Mahkamah yang diberikan kuasa untuk membuat pentafsiran undang-undang.
Yang peningnya, (saya seorang peguam pun pening) bila membaca seksyen ini. Bahasanya berbelit. Tidak tahu di mana letaknya koma dan noktah. Kalau dibaca dalam satu nafas boleh bikin semput dada. Mungkin yang mendraf seksyen ini adalah orang yang gagal ujian Bahasa Malaysia. Kalau bahasanya berbelit sebegini payah, maka perlaksanaannya dalam proses pendakwaan dan perbicaraan tentu lebih sukar lagi. Sebab itu, kewujudan seksyen ini tidak digeruni samada oleh pihak yang berpolitik. Rakyat tidak faham, orang politik tidak faham, peguam tidak faham, malah hakim pun barangkali tidak faham. Sepanjang ingatan saya, belum pernah ada sesiapa yang didakwa di bawah seksyen ini semenjak seksyen ini diluluskan oleh Parlimen.
Akhirnya, SPR secara amnya, dan secara khususnya Timbalan Pengerusi SPR tidak usah memandai-mandai memberikan tafsiran kepada statut. SPR tumpukan dahulu kepada usaha pembersihan daftar pemilih yang masih kotor. Usah dihalang inisiatif dan kreativiti rakyat untuk berkempen. Jika berlaku pun perlanggaran seksyen 4A ini boleh tangkap sahaja orang yang melanggar seksyen ini dan boleh dibuat pendakwaan. SPR hendaklah ingat fungsi sebenarnya adalah untuk menjadi pengadil yang adil yang tidak berpihak kepada mana-mana parti yang bertanding. (IH).
No comments:
Post a Comment