CALON pergerakan Ikhwanul Muslimin,
Mohammed Mursi menunjukkan dakwat hitam pada jari kelingkingnya selepas
membuang undi di bandar Zagazig semalam.
KAHERAH, Mesir: Rakyat Mesir keluar mengundi semalam dalam pilihan
raya presiden pertama yang diadakan selepas kejatuhan diktator, Hosni
Mubarak pada tahun lalu. Orang ramai berbaris panjang bagi menunaikan tanggungjawab mereka
sejurus selepas pusat pembuangan undi dibuka tepat pukul 8 pagi (waktu
tempatan ) di seluruh Mesir.
"Ini merupakan hari indah untuk Mesir," kata seorang penduduk, Nehmedo Abdel Hadi yang membuang undi di sebuah sekolah di sini.
"Hari ini bersejarah kerana kami sebagai rakyat, dapat memilih
Presiden Mesir buat kali pertama," kata seorang pengundi wanita berusia
46 tahun.
Raniai yang keberatan mendedahkan calon pilihannya. Lebih 50 juta pengundi berdaftar dijangka memilih seorang daripada 12 calon yang bersaing untuk menggantikan Mubarak. Proses membuang undi dijadual berlangsung selama dua hari bermula
semalam di 13,000 pusat pembuangan undi di seluruh Mesir manakala
keputusan awal pilihan raya tersebut dijangka diketahui Ahad ini.
Calon utama yang bertanding termasuk bekas Menteri Luar dan ketua
Liga Arab, Amr Mussa yang dilihat sebagai ahli politik berpengalaman. Namun, seperti pesaingnya Ahmed Shafiq yang merupakan bekas Perdana
Menteri, Amr juga dianggap memiliki fahaman lama rejim Mubarak.
Selain mereka, calon pilihan Ikhwanul Muslimin, Mohammed Mursi
ditentang hebat oleh bekas ahli pergerakan Islam berkenaan yang mendakwa
mendapat sokongan lebih meluas di peringkat akar umbi.
Ikhwanul Muslimin merupakan kumpulan Islam paling berpengaruh di Mesir. Pilihan raya tersebut diadakan oleh Majlis Tertinggi Angkatan Tentera
Mesir yang mentadbir negara selepas kejatuhan Mubarak pada awal tahun
lalu.
Sementara itu, Mubarak, 84, yang jatuh sakit menyaksikan pilihan raya tersebut dari sebuah hospital tentera dekat sini. Bekas Presiden Mesir itu kini menunggu keputusan perbicaraan pada 2
Jun depan kerana pembabitannya dalam pembunuhan sekitar 850 penunjuk
perasaan semasa kebangkitan rakyat Mesir awal tahun lalu. - AFP
No comments:
Post a Comment