IPOH: Setelah berjaya mengadakan Himpunan Hijau Menuju Putrajaya peringkat pusat 1 Jun lalu, himpunan ini akan diadakan di peringkat negeri-negeri pula. Himpunan peringkat negeri Perak akan berlangsung pada 16 Jun ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, himpunan ini akan diadakan di Markas PAS Masjid Tinggi, Bagan Serai jam 9.00 malam. Menurutnya, program itu akan dihadiri oleh Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Fauzi Shaari.
“Semua pimpinan PAS Perak akan turun bersama-sama dalam himpunan ini bagi meneruskan momentum gelombang Hijau ke Putrajaya yangdiadakan di Stadium Darul Aman baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Katanya, beberapa kejutan akan berlaku termasuklah pengiytiharan bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS dan akan menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Tuan Guru Nik Aziz.
“Justeru saya mewakili PAS Perak menyeru seluruh rakyat negeri ini turun beramai-ramai bagi meneruskan gelombang yang digeruni Umno ini,” ujarnya.
Sementara itu, Xpresi Hijau Anak Muda pula akan berlangsung di sebelah petangnya. Menurut Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Dr Raja Ahmad Al-Hiss ketika ditemui berkata, program ini sebagai menyahut seruan Ketua Pemuda PAS Malaysia untuk meneruskan gelombang perubahan anak muda dinegeri-negeri.
“Program bermula dengan Konvoi bersama Tuan Guru Nik Aziz di Tol Bukit Merah jam 10 pagi seterusnya menuju ke Markas PAS Masjid Tinggi, Bagan Serai.
“Pemuda akan berkumpul bersama kepimpinan Pemuda PAS Negeri di Markas tersebut dan beberapa aktiviti telah disusun seterusnya bersama-samadalam Himpunan Hijau di sebelah malamnya,” jelasnya.
Raja Ahmad menjelaskan, beberapa penampilan istimewa dijemput untuk memeriahkan suasana termasuklah penyanyi yang terkenal dengan lagu Selagi Ada Rindu, Pak Long.
“Saya menyeru anak muda di seluruh pelusuk negeri hadir ke program ini dan dicadangkan memakai baju hijau,” jelas Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia itu
No comments:
Post a Comment