KL: Tiada yang merugikan wanita Kelantan
apabila kerajaan negeri tidak membenarkan wanita negeri itu menyertai
tilawah al-Quran sejak 20 tahun lalu.
Sebaliknya wanita Kelantan
mendapat manfaat dengan kelas-kelas pengajian al-Quran yang berada di
setiap peringkat negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah itu.
Malah,
tegas Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar), mereka
dapat mendalami dan menghayati isi kandungan al-Quran untuk diamalkan
sebagai bekalan ke akhirat yang abadi.
"Banyak kelas pengajian
al-Quran di Kelantan. Kita kena faham, al-Quran ini bukan hanya untuk
dibaca dan dilagukan, tetapi ia untuk difahami dan dihayati agar kita
berpegang dengannya," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Beliau
yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata demikian sebagai respons
kepada kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk
Mustapha Mohamed yang mengatakan wanita Kelantan kerugian selama 20
tahun kerana tidak dibenarkan menyertai tilawah al-Quran.
Selain
menyatakan pendirian kerajaan negeri Kelantan yang memberi penghormatan
yang tinggi terhadap wanita, ahli parlimen Rantau Panjang itu juga
keadaan itu tidak dapat dikecapi ketika BN memerintah negeri itu.
Katanya,
kerajaan negeri Kelantan begitu mengiktiraf peranan wanita dengan
melantik mereka sebagai penghulu wanita, pegawai armalah, tanpa
meminggirkan peluang wanita Kelantan untuk ke Dewan Rakyat, Dewan Negara
dan Dewan Undangan Negeri (Dun).
"Selain itu, wanita Kelantan
juga rasa terhormat apabila banyak program-program kerajaan negeri yang
menjurus kepada kewanitaan, projek kebajikan, cuti bersalin 90 hari,
skim armalah, yang semuanya tidak ada ketika BN memerintah," tegas
beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Kelantan.
Sehubungan itu,
beliau mengingatkan mana-mana pihak yang menyatakan wanita Kelantan
kerugian hanya kerana tidak menyertai tilawah al-Quran, agar kembali
memahami tujuan al-Quran itu diturunkan.
"Al-Quran diturunkan
untuk difahami serta dihayati, dan kemudiannya diamalkan. Bukan sekadar
dibaca, diperdengarkan di khalayak, dan dipertandingkan. Tidak rugi
apa-apa wanita Kelantan tidak menyertai tilawah sekiranya kandungan
al-Quran itu difahami keseluruhannya," tegas beliau. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment