KL: PAS meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan berhubung tafsiran Islam dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia, adakah ia bermaksud agama upacara (ceremonial religion) atau sebagai sistem kehidupan yang sempurna (al-Din).
Demikian soalan bagi jawab lisan yang dikemukakan oleh Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berikut ialah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan yang dikemukakan oleh ahli-ahli parlimen PAS pada persidangan Dewan Rakyat hari ini yang bermula jam 10.00 pagi.
Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [ Kota Bharu ] minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan bentuk kerjasama yang diwujudkan di antara negara-negara pengeluar getah asli dan kelapa sawit untuk menjamin prospek masa depan kedua-dua komoditi tersebut.
Salahuddin Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sejauh manakah kajian kemungkinan dari segenap aspek yang dibuat sebelum ahli lembaga pengarah Khazanah Nasional Berhad yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri mempersetujui penggabungan MAS dan Air Asia.
Mohd. Nasir Zakaria [ Padang Terap ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan jumlah pinjaman MARA yang diluluskan di Padang Terap mengikut jenis projek dan kadar kutipan semula.
Nasharudin Mat Isa [ Bachok ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sehingga 31 Mei 2012, berapa peratuskah dan nilainya sekali, perbelanjaan yang telah digunakan bawah peruntukan pembangunan di bawah RMK-10.
Che Uda Che Nik [ Sik ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan memandangkan arah kejatuhan moral masyarakat, jenayah sosial, murtad dan sebagainya yang menjalar dalam masyarakat kini, adakah Kerajaan bermatlamat untuk memasukan semula Sekolah Agama Rakyat dalam Arus Aliran Pendidikan Kebangsaan yang telah dipencilkan sejak 2003.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI LUAR NEGERI menyatakan sejauh mana Global of Moderates Movement (GMM) berjaya diperkenalkan di luar negara dan di dalam negara.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan pendirian rasmi Kerajaan Persekutuan berhubung tafsiran Islam dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia, adakah ia bermaksud agama upacara (ceremonial religion) atau sebagai sistem kehidupan yang sempurna (al-Din).
Siti Zailah Mohd. Yusoff [ Rantau Panjang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan dari semua sudut termasuk menaikkan taraf perundangan Islam dan institusi kehakiman.
Muhammad Husain [ Pasir Puteh ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan adakah pihak Kementerian bercadang mengisytiharkan jenis perniagaan yang mengganggu ketenteraman seperti menjual burger di hadapan rumah Datuk S. Ambiga baru-baru ini sebagai satu kesalahan dari segi undang-undang.
Dr. Siti Mariah Mahmud [ Kota Raja ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan status masalah gangsterisme dalam negara dan sebab musabab masalah ini masih berleluasa. Nyatakan juga peratusan penglibatan mengikut kaum dan apakah usaha dan strategi Kerajaan untuk menangani masalah ini di kalangan remaja. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment