PKR
mendakwa Felda merancang untuk mengurangkan peruntukannya sehingga
hampir RM100 juta kepada peneroka ekoran penyenaraian Felda Global
Ventres Holdings (FGVH).
Pengerusi biro pelaburan PKR, Wong Chen
menjangkakan Felda berbuat demikian kerana penyenaraian itu didakwa akan
menyebabkan pendapatan Felda akan berkurangan sebanyak RM900 juta
daripada RM2.5 bilion tahun lalu.
"Potongan RM100 juta ini
mempunyai kaitan terus dengan IPO FGVH. Apabila Felda pajak gadai tanah
350,000 hektar kepada FGVH, Felda telah menyerahkan semua pokok dan
hasil sawit kepada FGVH. Ini menyebabkan pendapatan Felda jatuh
mendadak.
"Pada tahun 2011, pendapatan Felda mencecah RM2.5
bilion tetapi selepas tanah dipajak, pendapatan 2012 dijangka turun ke
RM900 juta sahaja, pendapatan jatuh 64 peratus.
"Oleh kerana
pendapatan Felda jatuh teruk, maka kebajikan peneroka dipotong sebanyak
RM100 juta, jelasnya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di
Petaling Jaya hari ini.
Beliau menyifatkan pemotongan peruntukan
kepada RM326 juta itu, berbanding RM424 pada tahun lalu, sebagai satu
bentuk "penindasan" kepada golongan peneroka.
Langkah tersebut
antara lainnya akan melibatkan pembangunan infrastruktur (pemotongan
hingga 57 peratus) dan juga bayaran bonus hari raya (25 peratus), kata
Wong.
Tindakan itu juga akan menjejaskan peruntukan untuk
pembangunan belia generasi kedua dan ketiga (27 peratus), insentif
produktiviti (22 peratus) dan pelan insurans untuk peneroka (25
peratus), kata Wong lagi.
Katanya maklumat tersebut terkandung
dalam buku Bajet Felda 2012 yang turut diedarkan kepada pemberita dalam
sidang media hari ini.
Berdasarkan analisis PKR, Felda
membelanjakan antara RM400 hingga RM500 juta untuk kebajikan peneroka
sebelum wujudnya FGVH, kata Wong. (MK)
No comments:
Post a Comment