Thursday, June 28, 2012

'K'tan Tak Kuasa Larang Judi' Ditolak -N/Aziz Syukur


 

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan merakamkan kesyukuran penolakan Mahkamah Rayuan terhadap saman dari MCA yang menuntut pengisytiharan Kelantan tidak mempunyai kuasa melarang aktiviti judi di negeri itu.

(Tuan Guru Nik Aziz memanjatkan kesyukuran dengan keputusan Mahkamah Rayuan)

Menurut Setiausaha Akhbar MB, Fadhli Shaari, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat yang kini berada di Kuala Lumpur beranggapan keputusan ini satu kejayaan yang besar ertinya kepada kerajaan Kelantan.

Mahkamah Rayuan Malaysia semalam yang secara sebulat suara telah menerima rayuan Kerajaan Negeri Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB – BRI) dalam isu judi sekaligus membatalkan saman pemula menuntut pengisytiharan Kelantan tidak mempunyai kuasa melarang aktiviti judi pada tahun lepas.

Saman tersebut telah dikemukakan pada Julai 2011 oleh tiga orang tiga penduduk Kelantan iaitu Wong Meng Yit, Lee Khim Haw @ Lee Khim Hwa dan Gan Han Chuan serta diiringi oleh anggota Jawatankuasa MCA Pusat, Datuk Ti Lian Ker semasa saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tuan Guru Nik Aziz ini kejayaan besar dalam usaha untuk memastikan dasar yang telah dilaksanakan semenjak tahun 1990 ini tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

Hakikatnya, dasar ini dilaksanakan dengan tujuan menjaga kemaslahatan semua pihak dan ia secara umumnya diterima dengan baik kecuali anasir-anasir yang bersifat minoriti yang dipercayai berpunca daripada dakyah pihak-pihak tertentu.

"Tuan Guru Menteri Besar juga menyuarakan rasa kesal teramat sangat di atas tindakan saman yang difailkan yang dipercayai direstui oleh parti MCA berdasarkan kehadiran anggota jawatankuasa pusatnya semasa proses saman tersebut difailkan," kata Fadli dalam kenyataannya.

Persoalannya, kata beliau, di manakah suara Umno yang selama ini mendakwa sebagai juara membela agama dan bangsa?

"Kenapakah langsung tidak bersuara dalam isu ini yang sekaligus dilihat sebagai menyokong tindakan menyaman kerajaan Kelantan?" soal beliau.

Justeru, katanya, menjadi harapan Tuan Guru Menteri Besar agar keputusan ini diterima baik oleh semua pihak dan tidak lagi bertindak menggugat dasar-dasar yang telah diputuskan sekian lama.

Dasar ini pula selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan Kelantan semenjak tahun 1990. (Hrkh)

No comments:

Post a Comment