Monday, June 11, 2012

Ust Azhar Idrus Sokong Tuntutan Minyak/Gas K'tan.

Sidang media royalti.

KOTA BHARU: Ikon anak muda negara Ustaz Azhar Idrus (gambar kanan) adalah antara kenamaan yang turut menandatangani menyokong tuntutan Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan.

Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti), Nazri Deraman berkata tindakan menolak tuntutan pendaratan gas oleh kerajaan negeri dan rakyat Kelantan, juga turut disokong oleh baginda pada pembukaan rasmi Persidangan Dun Kelantan Penggal ke lima baru-baru ini.

“Ini bererti, kegagalan mendaratkan gas dan petroleum itu seumpama mengingkari baginda yang juga Timbalan Yang di Pertuan Agong.

“Ini kerana baginda juga turut bersetuju dan menuntut perkara yang sama kepada kerajaan Pusat disamping menandatangani plak yang turut tertera titah baginda,”ujar Nazri lagi.

Beliau berkata demikian kepada media dalam sidang medianya tengahari tadi, di khemah Ekspo Pertanian. Menurut Nazri, kerajaan Persekutuan seharusnya memberi perhatian terhadap titah baginda berhubung sokongan baginda berhubung pendaratan gas disamping menuntut royalti oleh kerajaan dan rakyat di negeri itu.

Pada 5 Jun lalu, Sultan Muhammad ke-V berkesempatan menandatangani plak sokongan menuntut pendaratan gas di zon industri petroleum Pantai Bachok, di bawah titah baginda sendiri sempena sidang Dun Kelantan baru-baru ini. Plak berkenaan disediakan gabungan Royalti yang turut tertera potret dan titah baginda.

Pada masa yang sama Nazri memberitahu pihaknya akan mensasarkan lebih 150,000 tandatangan rakyat Kelantan untuk tujuan yang sama disamping menuntut royalti. “Sehingga kini kami telah memperolehi lebih 60,000 tanda tangan rakyat negeri ini,”ujarnya.

Bagaimanapun katanya, selain Sultan Kelantan dan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tengku Razaleigh Hamzah, Presiden Kafa, Tan Sri Anuar Musa juga telah menandatangani tuntutan itu baru-baru ini.

Tambahnya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemain bola sepak Kelantan, ikon anak muda negara Ustaz Azhar Idrus adalah antara kenamaan yang turut menandatangani menyokong tuntutan yang sama. Nazri seterusnya memberitahu, Walk for Royalti akan diadakan pada 7 Julai ini bermula di Stesyen Bas Kota Bharu bermula jam 2.00 petang.

“Acara santai berjalan kaki ini akan melibatkan perjalanan sejauh tiga kilometer sambil mengedarkan risalah berkaitan tuntutan royalty.

“Pada masa yang sama logo khas ‘R’ akan dilancarkan sebagai simbolik kepada Royalti,”ujarnya.

Jadi, tidak ada sebab lagi untuk Kerajaan Pusat menolak tuntutan pendaratan gas ke Pantai Bachok oleh kerajaan negeri apabila Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V turut menyokong tuntutan  itu. (IH/Sumber Harakah)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails