Wednesday, June 06, 2012

YDP PAS Jeli Saman Blogger RM1J

KOTA BHARU: Blogger mesra Umno, Wan Mohamad Shukri Wan Yusof kini berdepan dengan tindakan saman sebanyak RM1 juta ekoran menyiar berita berunsur fitnah terhadap Yang Dipertua PAS Jeli, Mohd Apandi Mohamad (gambar)

Defendan yang beralamat di 876, Kampung Jelutong, Kota Bharu merupakan pemilik blog http://www.kelatekito.net dianggap menyebarkan berita fitnah yang bertajuk “YDP PAS Jeli samun tanah rakyat” pada 8 November 2011.

Dalam tuntutannya Apandi menyifatkan artikel tersebut tidak benar dan tidak berasas bertujuan memburuk-burukkan plaintif sebagai seorang pemimpin PAS.

Menurutnya tulisan berkenaan juga dengan maksud yang jelas menuduhnya sebagai seorang yang tamak, tidak jujur dan menipu rakyat.

Ekoran itu plaintif melalui peguam Hisham Fauzi telah mengemukakan notis tuntutan kepada defendan menuntut supaya defendan memadamkan artikel tersebut serta memohon maaf secara terbuka.

Selain itu membayar gantirugi kepada plaintif, namun defendan gagal berbuat demikian dan tidak mahu memohon maaf secara terbuka serta membayar gantirugi.

Blogger terbabit sebelum ini dalam blognya mendakwa Yang Dipertua PAS Jeli telah mendapat tanah seluas 362.75 ekar di Mukim Kuala Pahi, Kuala Krai untuk dibahagikan dengan empat lagi sahabatnya.

Beliau menyebut tanah tersebut diusaha rakyat sejak berpuluh tahun lalu dirampas kerajaan PAS untuk membangunkan ladang, tetapi pemimpinnya rakus untuk dijadikan harta peribadi.

Dalam tuntutannya juga plaintif mahu defendan memohon maaf secara bertulis kepadanya tanpa syarat dan mengiklankannya dalam akhbar nasional harian bahasa Melayu.

Selain itu bayaran gantirugi teladan, gantirugi melampau serta gantirugi punitif. Sebutan kes tersebut dijangka diadakan pada 24 Jun ini di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails