Wednesday, July 25, 2012

Bazar Ramadhan Sg Golok Lengang Kerana Bom?

 
NARATHIWAT (Selatan Thailand): Suasana Bazar Ramadan di bandar pelancongan terkenal di wilayah ini iaitu Sungai Golok agak lengang berbanding tahun-tahun lepas. Tinjauan Harakahdaily mendapati suasana tidak meriah, jauh berbeza seperti tahun sebelumnya. Biar pun begitu masih ramai penduduk tempatan berniaga pelbagai juadah dan keperluan harian.

Difahamkan Majlis Perbandaran Sungai Golok menyediakan ruang kepada 1,020 peniaga menjalankan perniagaan di Bazar Ramadan. Seorang peniaga, Munah Abdullah, 51, ketika ditemui mengakui jualannya agak merosot tahun ini kerana tidak ramai pelanggan yang datang.

“Sambutan Ramadan tahun ini di Sungai Golok agak sunyi. Ini mungkin penduduk tempatan bimbang untuk datang kerana berlaku kejadian bom baru-baru ini,” katanya.

Seorang lagi perniaga, Muhammad Sudin, 40, juga mengakui sambutan di Bazar Ramadan Sungai Golok tahun ini tidak memberangsangkan. Menurutnya, mungkin masyarakat tempatan masih ketakutan ekoran beberapa siri kejadian pengeboman di Bandar Sungai Golok yang berlaku kebelakangan ini.

Sementara itu, bekas wakil rakyat Sungai Golok, Wan Suhaimee Wan Hassan atau lebih dikenali dengan gelaran Pakcu Tak mengalu-alu penduduk yang tinggal di kawasan sempadan di Kelantan datang ke pasar Ramadan tersebut.

“Saya mengalu-alukan umat Islam dan rakyat Malaysia untuk datang ke Bazar Ramadan Sungai Golok kerana pelbagai barangan jualan untuk berbuka puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri disediakan.

“Harga pakaian dan barangan lain agak berpatutan dan murah. Biar pun berlaku kejadian pengemboman baru-baru ini, namun suasana masih lagi terkawal,” ujarnya.(Harakah)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails