ALOR SETAR: Pas Kedah akan akur pada arahan Pusat sama ada hukum hudud
wajar dilaksanakan di negeri diterajui Pas, mahupun Pakatan Rakyat
(PR). Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang juga Pesuruhjaya Pas
Kedah berkata, pihaknya akan patuh pada ketetapan Pas Pusat berhubung
perkara itu.
“Saya sokong apa yang dikatakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat, tidak penting sama ada Kelantan atau Johor yang laksana
terlebih dahulu,” katanya.
Bagaimanapun, perkara berkaitan hudud lebih sesuai dibincangkan di
peringkat mufti atau ulama untuk lebih kefahaman, berbanding
membincangkan pihak mana terlebih dahulu melaksanakannya. “Kita serahkan pada ulama… rujuk pada Majlis Mufti Kebangsaan, mereka lebih arif,” katanya.
Mengulas saranan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman agar Umno
melaksanakan hudud di seluruh negara kerana memegang tampuk pemerintahan
di peringkat Pusat, Azizan berkata, perkara itu juga perlu dirujuk
kepada mufti untuk melihat kesesuaiannya.
“Bila pilihan raya umum makin dekat, macam-macam isu dibangkitkan semula termasuk hudud,” katanya.
Kelmarin, Nik Abdul Aziz mengajak Umno Johor bekerjasama untuk
melaksanakan hudud jika mampu melaksanakannya lebih awal berbanding
Kelantan berikutan negeri itu menghadapi halangan berbuat demikian. Nik Abdul Aziz juga berharap ia tidak ditarik balik sebaliknya akan menjadi kenyataan. (SH)
Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
No comments:
Post a Comment