Tuesday, July 10, 2012

Jom Masuk Universiti Ramadzan' Al-Mubarak.



CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

BEBERAPA hari lagi, bulan Ramadhan akan tiba.  Sebagai tuan rumah, bulan mulia ini  telah mendapat tamu kehormat bernama al-Qur'an.  Dapat secara keseluruhan dalam satu kitab atau turun pertama kalinya dalam lima ayat Surat al-'Alaq. Yang pertama disebut lailatul qadri, dan kedua nuzulul Qur'an. 

Maka, bulan Ramadhanlah yang terpilih sehingga ianya menjadi mulia, barakah, dan tersemai benih rahmat. Semua itu semata-mata atas kehendak Allah SWT.  Ramadhan memang bernasib baik. Tentu kitapun ingin bernasib seperti itu, yakni dipilih Allah sebagai tempat turun wahyu Al-Qur'an?

Kita ingin Al-Qur'an turun pada diri sanubari kita, dalam bentuk hidayah dan taufiq. Bukan hanya sebatas dalam bentuk bacaan, hafalan, dan pemahaman, sekalipun ketiga itu sebenarnya penting dalam rangka meraih petunjukNya. Tetapi jika tiga hal itu tersangkut  di tengah jalan tanpa melangkah pada jalan Allah, tingkat munafik kita makin terserlah dan sukar beralih menjadi Muslim kaffah.

Oleh itu, kita mesti banyak berguru kepada bulan Ramadhan. Berada di bulan itu sama seperti berada di sebuah pusat pengajian tinggi, pondok atau universiti..Anggaplah kita berada di sebuah universiti, 'Universiti Ramadhan Al-Mubarak'. Selama sebulan penuh kaum Muslimim menjalankan masa pendidikan di 'fakulti' masing-masing sesuai bakat, kemampuan, dan peranannya.

Kita memang sama-sama beriman, tetapi tugas dan kualiti tentu berbeda. Yang sama adalah semangat dan ambisi kita untuk diujinilai oleh Allah dengan gelaran Muttaqin. Selepas berjaya ujiperiksa itu, kita rayakan kemenangannya. Itulah hari Lebaran, atau Hari Raya Aidiul Fitri. Sejarah mencatatkan 9 kali Rasulullah SAW dan ummat Islam zaman itu merayakan hari raya 'Idul Fitri.

Pada Hari Raya ke 9 itu, Rasulullah dan kaum Muslimin merasakan puncak kemenangan lahir dan batin. Bukan hanya menang dalam pengertian individu, iaitu berupa tunduknya hawa nafsu dalam kekuasaan dirinya yang fitrah, tetapi juga kemenangan menyeluruh termasuk politik di kota Makkah. Kemenangan kerana tunduknya seluruh manusia di kota itu, Tunduk di bawah suatu kekuasaan atau sebuah karajaan kebajikan yang bebas merdeka, berslogankan 'La ilaha illallah'.

Itulah puncak kemenangan sebenarnya. Sudah sejak lama kita merindukan kemenangan 'Idul Fitri sebagaimana yang pernah dialami ummat Islam di zaman Rasul itu. Kita rindukan sebuah pemerintahan Islam, bebas dan berkebjikan untuk rakyat. Bukan sebuah kerajaan asobiyah, perkauman, perasuah, bahkan menjadi sumber kemksiatan.  Bukan saja di peringkat lokal, nasional bahkan internasional.

Kerana itu, sepatutnya umat Islam termasuk pemimpin-pemimpinnya, tampil baik, melangkah di jalan Allah dan dalam petunjuk-Nya. Ya, semestinyalah penampilan umat Islam mencerminkan peribadi sebagai orang yang bertaqwa, sebagai muttaqin.   
  • "Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu." (Al- Hujurat: 13)
Marilah! Jom kita masuk 'Universiti Ramadzan Al-Mubarak'. Berguru kepada bulan Ramadhan bererti berguru kepada Al- Qur'an. Akrab dan bercumbu dengan Ramadhan bererti cinta kepada Al-Qur'an. Kerana Al-Qur'an turun di bulan suci itu sebagaimana dikisahkan dalam surah al-Baqarah 185..

Insya Allah, weblog ini akan menjemput dan mengheret pembaca-pembacnya  ke arah menghayati kuliah universiti Ramadzan yang akan diterbitkan sepanjang atau sekitar bulan puasa....


Catatan Santai Ibnu Hasyim
alamat: ibnuhasyim@gmail.com

10 Julai  2012
 KL

Catatan Santai sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails