REMAJA lelaki Mesir (kanan) memerhati sekumpulan remaja
perempuan melintasi mereka di tebing Sungai Nil di Kaherah, Mesir. – AP (Okt 2010)
KAHERAH: Pelancong kaya dari Teluk Parsi sanggup mengeluarkan belanja besar supaya dapat berkahwin sementara dengan gadis remaja Mesir ketika cuti musim panas, lapor Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Menurut kajian Pemerdagangan Orang diterbitkan jabatan itu, ‘pernikahan kontrak’ itu tidak terikat dengan undang-undang dan ia berakhir apabila lelaki terbabit kembali ke negara mereka di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.
Pelancong kaya didapati membayar ‘mas kahwin’ bernilai antara '320 (RM1,587) hingga '3,200 (RM15,875) kepada keluarga miskin melalui orang tengah. Pengantin perempuan - sesetengahnya berusia bawah 18 tahun - dijadikan pemuas nafsu dan dipaksa berkhidmat untuk pelancong terbabit. Undang-undang Mesir menetapkan, tiada wanita negara itu dibenarkan berkahwin dengan lelaki yang mempunyai beza usia 10 tahun daripada mereka.
Bagaimanapun, ramai ibu bapa dan orang tengah mengetepikan peraturan berkenaan. Untuk membolehkan pernikahan dilangsungkan, pihak terbabit memalsukan sijil kelahiran - sama ada untuk menambah usia bakal pengantin perempuan atau ‘memudakan’ bakal pengantin lelaki.
Pada 2009, sebuah mahkamah di Iskandariah memenjara dua pendaftar kerana menjalankan pernikahan kontrak beratus-ratus remaja perempuan di bawah 18 tahun. Islam mengharamkan seks sebelum nikah dan kebanyakan hotel dan pemilik bangunan menuntut pasangan yang ingin menginap di premis mereka supaya mengemukakan bukti pernikahan. Laporan Jabatan Negara AS itu menyatakan, ramai ibu bapa menjalankan pernikahan tanpa persetujuan anak perempuan mereka.
“Biasanya mangsa terpaksa bersetuju dengan apa yang diaturkan kerana keluarga mereka miskin,” kata laporan itu. Sesetengah mangsa dibawa pulang ke negara suami mereka untuk dijadikan pembantu rumah, manakala remaja yang ditinggalkan di Mesir biasanya dipulaukan masyarakat.
Keadaan menjadi lebih buruk jika remaja terbabit hamil dalam pernikahan kontrak itu. Kesannya, ramai remaja meninggalkan zuriat mereka di rumah anak yatim atau membiarkannya di jalanan.
“Ramai pengantin itu turut menjadi sasaran lelaki Mesir untuk dijadikan pelacur,” kata laporan itu. - DM
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16
No comments:
Post a Comment