Saturday, July 28, 2012

Kesedaran Artis Bertudung, Menjalar Ke Indo..



PUPUT MELATI (tengah) menganggotai grup vokal yang mendendangkan lagu-lagu kerohanian, Fatima Voice bersama Pipik Dian Irawati (kiri) dan Nia Paramitha.

HALAMAN HIBURAN

Risty Tagor mula mengenakan hijab sejak dua bulan lalu. 
KISAH penghijrahan artis daripada berfesyen penuh sensasi kepada imej bertudung litup atau berhijab mungkin sudah lumrah dalam dunia hiburan Malaysia. Namun, diberitakan hal yang sama turut berlaku dalam kalangan segelintir artis Indonesia yang diakui lebih berani menggayakan fesyen pakaian demi merealisasikan gelaran bintang terkenal pada diri masing-masing.

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh artis jelita muda Indonesia yang kini bertudung litup. Rahmat buat mereka dengan ketibaan Ramadan kali ini. Nuri Maulida adalah antara contoh yang nyata. Aktres cantik berusia 27 tahun yang muncul dengan imej anak muda urban dan moden menerusi filem sulungnya, Me vs High Heels (2005) ini memilih untuk melakukan penghijrahan imej kepada bertudung litup pada 10 Julai tahun ini. 

Pintu hatinya untuk melakukan hal tersebut terbuka sejurus selepas pulang daripada mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah. Dalam kenyataannya kepada Jakartamagazine.com, ujar Nuri: 

 "Saya yakin sepenuhnya kepada pilihan saya untuk berhijab kerana ia bisa (mampu) membawa impak positif kepada orang lain dan diri saya sendiri.

"Tahun ini merupakan Ramadan pertama saya menyaksikan saya dengan imej berhijab ini. Saya sangat berharap bisa menjalankan segala amalan sepanjang bulan mulia kali ini dengan lebih khusyuk."

Turut berkongsi pengalaman sebagaimana Nuri Maulida dalam meraikan kedatangan Ramadan pertama kali dalam imej berhijab ialah pelakon sinetron dan bintang filem muda, Risty Tagor dan penyanyi jelita, Zaskia Sungkar yang juga isteri kepada pelakon kacak, Irwansyah. 

Risty, 22, memutuskan berhijab sejak dua bulan lalu. Bintang yang menyerlahkan sisi bakat lakonannya terutama menerusi filem Pocong 2 (2007), selain sinetron Safa dan Marwah (2010) ini berkata: "Selepas mengenakan imej berhijab, diri ini berasa semakin dekat dengan Allah."

Perubahan dirinya tersebut disokong oleh suami Risty, Rifky Balweel. "Isteriku sekarang tampak (kelihatan) lebih cantik dengan jilbabnya (hijabnya)," akui Rifky.

Sama sepertimana Risty, Zaskia, 22, juga baru sahaja memakai hijab sekitar dua bulan yang lalu. Mengenakan hijab diakui Zaskia tidak mengurangi rasa percaya dalam dirinya. Bahkan akui Zaskia: "Tiada perbezaan sedikit pun seperti sebelum memakai hijab." 

Keputusan berhijab meraih sokongan daripada keluarga dan suaminya, Irwansyah. Malah, Zaskia mengakui para peminatnya juga sudah mulai mengikuti jejak dirinya untuk mengenakan hijab.

Pelakon sinetron dan penyanyi popular, Marshanda pula memutuskan untuk mulai berhijab lebih awal iaitu pada tahun 2010. Marshanda memutuskan berhijab selepas dirinya didatangi mimpi Hari Kiamat selama beberapa hari.

"Setelah berjilbab, saya mengakui merasa lebih tenang dan lebih dilindungi Allah," bicara isteri Ben Kasyafani yang sehingga kini masih aktif dalam dunia hiburan di Indonesia.

Sementara itu, pelakon kacukan Jerman-Sunda, Rachel Maryam Sayidina, 32, pula mulai berhijab pada tahun lepas. Keputusan itu diambil selepas dia mengerjakan umrah pada tahun yang sama. Setelah berhijab, Rachel yang bersuamikan Edwin Aprihandono sejak 16 Disember tahun lepas kini mulai lebih selektif dalam memilih karakter lakonannya dalam sinetron.

Mantan penyanyi cilik popular, Puput Melati, 29, dalam pada itu mula berhijab sejak 2008. Dengan berhijab, Puput mengakui dia tidak takut kehilangan kariernya yang telah dibina sekian lama lama dibina dalam dunia hiburan. 

Mengahwini Ustaz Guntur Bumi pada tahun lepas, Puput kini kembali aktif penyanyi, namun memilih untuk fokus menyanyikan lagu-lagu keagamaan bersama grup vokal yang dikenali sebagai Fatima Voice yang dianggotainya bersama Pipik Dian Irawati dan Nia Paramitha.

Artis serba boleh Dessy Ratnasari, 38, yang terutamanya meraih populariti sebagai penyanyi lagu berjudul, Tenda Biru pula mulai mengenakan hijab sejak Ramadan tahun lalu. "Selepas mengenakan jilbab hidup saya menjadi lebih tenang. Walaupun berjilbab, saya ingin tetap aktif berkarya dalam bidang seni," ungkapnya.

Selain para selebriti tersebut, antara artis terkenal Indonesia yang sudah lama bertudung termasuklah Inneke Koesherawati, Mediana Hutomo, Annisa Triphasari, Henidar Amroe, Okky Asokawati dan Ratih Sanggarwati.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Semoga trend kesedaran artis bertudung lingkup ini akan terus beremarak, bukan sahaja di Malysia dan Indonesia, bahkan akan bangkit di seluruh dunia. Bukan sahaja artis yang mengaku beragama Islam, mungkin artis bukan Islam pun akan bangkit sama. Bangkit ke arah pakaian bermaruah, bermoral dan bertamadun.

Bagi artis Islam, berjinak-jinaklah dengan kumpulan atau parti Islam, seperti yang berlaku di Kelantan kira-kira 30 orang artis sudah menyertai usrah dari kumpulan Islam, baru-baru ini. Al-hamdulillah! Lihat ini.. Artis Sertai Usrah Pertingkat Ilmu -Yatt Hamzah
(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails