HALAMAN HIBURAN
Sami Yusuf
PETALING JAYA: Kumpulan Rabbani menyifatkan tindakan penyanyi antarabangsa Sami Yusuf membatalkan Konsert Salaam Sami Yusuf
yang sepatutnya berlangsung pada 14 Julai lalu di Stadium Malawati,
Shah Alam, Selangor adalah tindakan yang tidak profesional.Menurut wakil daripada kumpulan itu, Azadan Abd Aziz, dia bersama Rabbani Productions Sdn Bhd yang turut bekerjasama dengan penganjurnya, Offshore Entertainment Production (OEP) begitu kecewa dengan cara penyanyi tersebut melaksanakan peranannya.
"Kami yang mengendalikan bahagian pengurusan karnival berasa sangat simpati terhadap golongan peniaga yang sudah pun membuat persiapan berniaga bersempena dengan konsert tersebut.
"Lebih kasihan lagi apabila pihak penganjur menanggung kerugian yang besar. Pada pendapat saya Sami tidak profesional dengan pembatalan konsert itu," katanya yang ditemui pada sidang akhbar perjanjian kerjasama bersama Hotel Singgahsana di sini, Selasa.
Rabbani akan membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan Ramadan ini. Pada 12 Julai lalu, pihak penganjur telah memaklumkan pada saat-saat akhir mengenai konsert berkenaan dan meminta orang ramai menebus semula tiket yang sudah dibeli. Sami menerusi laman Twitter miliknya pula memberitahu pembatalan konsert yang turut menampilkan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Rabbani itu disebabkan oleh masalah permit.
Tambah Azadan, kejadian tersebut telah menjejaskan reputasi mereka sebagai artis dan syarikat di mana ia mampu menjejaskan hubungan sesama rakan perniagaan lain.
"Biasanya orang akan menilai sesebuah syarikat berkenaan berdasarkan rekod reputasi yang sedia ada dan pembatalan konsert ini sedikit menjejaskan kredibiliti pihak kami.
"Kami agak segan dengan pihak luar, tetapi nak buat macam mana? Ia satu pengajaran yang besar buat kami dan pihak yang terlibat bagi konsert ini," tuturnya dengan nada kesal.
Bagaimanapun, walaupun Rabbani kurang gemar dengan cara kerja Sami yang tidak profesional, ia tidak bermakna mereka ingin bermusuh dengan penyanyi itu. Beritahu Azadan, pihaknya cuma lebih berhati-hati apabila melibatkan kerjasama dengan Sami pada masa akan datang dan masih lagi berkawan sebagai rakan artis.Sementara itu, mengenai persembahan Rabbani di Hotel Singgahsana, ia merupakan kerjasama yang ke-21 bagi menghiburkan para pengunjung yang datang untuk berbuka puasa.
"Kali ini, Rabbani akan memberi sedikit kelainan daripada segi persembahan di mana kami akan membuat konsep akustik melibatkan peralatan muzik seperti 'cajun' dan gitar, selain peralatan muzik lain yang sering digunakan,” katanya.
Selain menampilkan konsep muzik akustik, Rabbani turut menampilkan rakan-rakan artis mereka seperti kumpulan Hijjaz, Raihan, In-Team dan Saujana untuk membuat persembahan pada hari-hari yang tertentu.(IH/mStar)
1 comment:
Bukan kah masalah tiket tak boleh dijual menyebabkan konsert dibatal sebagaimana yang dinyatakan oleh pihak penganjur tempatan. Kenapa sami yusuf dipersalahkan?
Post a Comment