KL: Wanita Pakatan Rakyat hari ini
melancarkan Agenda Wanita Malaysia (AWM) merangkumi dasar bersama
mencakupi aspek perundangan, kelangsungan hidup yang berkualiti,
ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial dan agenda wanita muda.
AWM menekankan tiga elemen utama iaitu pemberdayaan, pengiktirafan dan pelaksanaan.
Bagi
mencapai matlamat ini, AWM berhasrat menubuhkan Pusat Sokongan Wanita
Bersepadu (PADU) di peringkat nasional bagi merealisasikan keberkesanan
undang-undang yang merangkumi penubuhan baru dan pemberdayaan pusat
krisis sedia ada, penambahan pusat kaunseling dan pemberdayaan NGO yang
mendokong usaha ini.
Dalam satu kenyataan bersama yang
ditandatangani Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof,
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Wanita DAP Kebangsaan,
Chong Eng, mereka berkata, penubuhan Pusat Wanita Berdaya ( PWB )
sangat penting bagi melahirkan golongan wanita yang berkemahiran,
berilmu dan berdaya saing dalam masyarakat.
Wanita Pakatan
Rakyat juga berhasrat memperkenalkan Caruman Wanita Nasional sebanyak
RM50 sebulan daripada Pakatan Rakyat khusus sebagai pengiktirafan
terhadap peranan wanita di dalam masyarakat.
"Kita mempercayai
bahawa bantuan jika diberi tidak boleh berbentuk sekali sekala tetapi
bantuan perlu bersifat membina dan berterusan," kata kenyataan itu.
Selain
itu, caruman sebanyak RM10 sehingga RM100 digalakkan diberi oleh para
suami kepada isteri setiap bulan sebagai tabung simpanan hari tua,
skim perubatan wanita dan tabung bantuan musibah apabila berlaku
bencana, kemalangan atau kematian.
"Sesungguhnya, AWM yang kita
lampirkan ini adalah cerminan harapan dan pelan bertindak Wanita
Pakatan Rakyat melihat perlu dilaksanakan kelak diperingkat
persekutuan.
"Kelak agenda yang kita mahu warwarkan bukan
setakat pelan dan dasar yang menggubal tetapi kita mahu agenda yang
menerapkan falsafah dan membudayakan agenda wanita di peringkat
nasional dengan jelas," kata kenyataan itu. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment