KL: Weblog Ibnu Hasyim mengucapkan tahniah kepada Datuk Salleh Man yang dilantik
memegang jawatan Yang
Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Mainpp) secara sah hari ini. Ertinya, kemelut isu jawatan itu, kini sudah berakhir.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor
Othman dilaporkan oleh Sinar Harian berkata, pengesahan itu dibuat susulan daripada penerimaan surat
daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang
memperkenankan cadangan yang dikemukakan Kerajaan Negeri sebelum ini.
“Alhamdulillah, kita sudah terima surat
daripada pihak istana yang memperkenankan senarai perlantikan baru ahli
majlis yang kita syorkan dulu. Surat bertarikh 23 Julai 2012 ini
mengesahkan bahawa YDP MAINPP sekarang adalah (Datuk) Salleh Man dan
timbalannya adalah Maktar Shapee berkuat kuasa serta-merta.
"Senarai lima Ex-Officio yang lain kekal
namun ada tiga muka baru akan dilantik dalam lapan ahli majlis yang
sedia ada,” katanya kepada media hari ini.
Jawatan berkenaan sebelum ini di sandang
Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,
Datuk Abdul Malik Kassim. “Saya harap, dengan pengumuman rasmi ini, isu ini tidak dipolitikkan dan di manipulasi oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.
Sementara itu, Salleh Man yang diminta
mengulas berkata, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana
memberi laluan kepadanya untuk menggalas jawatan berkenaan.
"Terima kasih atas laluan ini untuk saya
terus melaksanakan tugas ini dan ia adalah jawatan berat untuk saya
laksanakan namun saya akan laksanakan mandat Kerajaan Negeri yang
diberikan ini dengan baik.
“Apa yang penting adalah sokongan daripada pelbagai pihak termasuk bekas YDP dan umat Islam di Pulau Pinang,” katanya.
Sementara itu, Abdul Malik yang turut
berada di sidang media yang sama berkata, pertukaran jawatan itu adalah
kesinambungan Kerajaan Negeri dalam memartabatkan orang Islam serta
meletakkan agama Islam pada kedudukan yang tertinggi.
“Pembaharuan ini adalah pembaharuan
dalaman dan ia kesinambungan yang biasa. Saya percaya dengan pelantikan
ini akan menaikkan lagi martabat umat Islam serta agama Islam itu
sendiri. Saya akan memberi sepenuh kerjasama bagi memastikan Islam di
Pulau Pinang terus dipelihara,” katanya.
"Tahniah kepada Datuk Salleh Man!" Kata editor weblog ini Hj Mohd Hasyim. "Sudah sewajarnya.."
No comments:
Post a Comment