KUALA LUMPUR - Pemuda Pas sedia bekerjasama dengan Umno bagi menghantar misi kemanusiaan membantu rakyat Rohingya, kata Naib Ketuanya, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob. Beliau berkata, misi bantuan kemanusian yang akan diberikan itu bertujuan menghentikan keganasan pada golongan yang tidak berdosa.
"Kami sedia menjalinkan kerjasama dengan Umno dan badan bukan kerajaan (NGO) lain jika mereka sedia bergabung bagi menghantar misi kemanusiaan ini," katanya pada sidang media sebelum Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya dan Misi Kemanusiaan Rohingya oleh Dewan Pemuda Pas Malaysia, di ibu pejabat Pas, petang tadi.
Tambah Raja Ahmad, kerajaan Malaysia juga dan pertubuhan antarabangsa lain perlu menggunakan saluran diplomatik bagi menekan kerajaann Myanmar yang bertindak zalim terhadap umat Islam.
"Kita perlu ketepikan perbezaan pendapat dalam politik. Jadi mengapa tidak jika Pas bekerjasama dengan Umno dalam menghulur bantuan kemanusiaan kerana ini bagi kepentingan manusia sejagat bukan kerana parti politik," tegasnya.
Menurutnya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang kini sedang berlangsung di Arab Saudi harus memainkan peranan bagi menangani isu ini.
"Jika lambat membuat sebarang tindakan, kami risau ramai lagi yang bakal terkorban di sana," katanya.
Dalam majlis tersebut sebanyak RM10,000 disumbangkan oleh Dewan Pemuda Pas Malaysia kepada majlis Ulama Rohingya. Pada 2012, dianggarkan 800,000 anggota masyarakat ini tinggal di Myanmar dan menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mereka adalah antara kumpulan minoriti yang paling teruk dizalimi di dunia. (SH)
No comments:
Post a Comment