Friday, August 24, 2012

Hudud Hukum Agama Bukan Ideologi -N/Aziz


Nik Aziz
Nik Aziz disambut YDP Pas Kawasan Pengkalan Chepa, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan pegawai peribadinya, Hasan Mamat (kanan) pada sambutan Hari Raya Pas kawasan itu, semalam
 
KOTA BHARU: Meskipun pemerintahan secara Islam termasuk hudud menjadi dasar perjuangan politik Pas, ia bukan bawah undang-undang Pas, sebaliknya hukum Islam yang dilaksanakan di beberapa negara termasuk Arab Saudi yang jelas dapat dilihat berjaya mengurangkan kadar jenayah di negara itu. Kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan keupayaan hukum hudud untuk mengatasi jenayah sama sekali tidak menggugat hubungan baik antara dua parti itu.

"Isu ini tidak perlu dibincang kerana ia adalah hukum agama, bukan ideologi, kalau hukum dunia, kita boleh tolak, tetapi sebagai orang Islam, (jika) tolak agama bermakna akan terima pembalasan di akhirat kelak," katanya.

Menurutnya, dibandingkan dengan undang-undang ciptaan manusia, termasuk hukuman gantung sampai mati, hudud jauh lebih baik walaupun pencuri dipotong tangannya atas kesalahan itu.

"Sekurang-kurangnya, dia (pesalah) masih boleh bekerja dan hukuman yang diterima, boleh jadi pengajaran kepada masyarakat. Undang-undang Islam sudah semestinya cukup adil. Buat salah, terima hukuman yang setimpal dengan kesalahan," katanya kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari Raya Pas Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama, di sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan, kenyataan Karpal sedikit pun tidak  tidak menjejaskan hubungan Pas dengan DAP, mahu pun hubungan peribadi sesama pemimpin parti itu.

"Tidak timbul soal perpecahan kerana sekarang kita tidak menghadapi masalah dan perkara ini hanya diperbesar-besarkan bagi menimbulkan kekeliruan," katanya.

Sementara itu, dalam satu entri ringkas menerusi laman sosial Facebook, semalam, Nik Aziz mahu pemimpin Umno memberi respons berhubung kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengenai isu hudud. Katanya, Soi Lek sebelum ini secara berterusan menghina hudud dan pernah melabel seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno dari Johor sebagai hilang akal kerana mencadangkan negeri itu melaksanakan hukum hudud.

 “Saya hendak membaca respons pemimpin Umno terhadap kenyataan Presiden MCA yang menyatakan Adun Umno hilang akal kerana mencadangkan hudud," katanya.

Dua bulan lalu, Adun Kemelah dari Umno, Datuk Ayub Rahmat, mengambil langkah berani apabila mencadangkan Johor mengambil inisiatif menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud.

Tindakan Ayub itu mendapat tentangan hebat daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri, termasuk MCA dan Gerakan, yang lantang menolak cadangan itu sehingga Soi Lek menganggap Ayub hilang akal.

Dalam perkembangan lain, Nik Aziz menyuarakan penghargaan kepada semua pihak yang bermurah hati menyumbang dana untuk projek Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai dengan  kos RM1.8 bilion.

“Sokongan rakyat tidak pernah berkurangan di Kelantan, malah Pas turut terima sokongan dari seluruh negara termasuk di luar Malaysia. Sokongan yang mereka berikan terhadap projek ini amat kami hargai walaupun sebelum ini mendapat pelbagai tohmahan negatif daripada parti lawan," katanya.

Nik Aziz berkata, pembinaan lebuh raya itu dijalankan dengan konsep wakaf dan ia bukan derma.
"Usaha kita adalah memperluaskan konsep wakaf. Jika dulu, kita wakaf barang-barang kepada masjid untuk digunakan orang ramai, jadi konsep yang sama digunakan dalam projek pembinaan lebuh raya untuk kemudahan rakyat apabila ia siap kelak," katanya. (IH/SH)

Lihat sebelum ini..
 E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz
E-Buku IH-46: Isu Hudud, K'tan & Nik Abd Aziz

3 comments:

Pakcu Rantau Panjang said...

Setiap kali musim piliharaya dah dekat setiap kali juga cerita hudud ini berkumandang....macam lagu raya yang dinyanyikan dicorong radio dan tv bila tiba Aidilfitri.

Kalau lagu raya memang pun kita beraya tapi yang ni agak-agak bila nak laksanakan ya...Pakcu bimbang kalau-kalau orang asing fikir inilah modal besar PAs untuk meraih undi apa lagi bila dah berkompromi dengan DAP tu nampak sangat nada tuan guru mesra alam biar pun Si Karpal tu direct hentam hudud..tak macam libas UMNO pun......

Pakcu tak suka kritik orang tapi dunia IT banyak mendedahkan sikap kita sesama saudara seagama semakin meruncing hasil pertikaian dalam pelaksanaan hukum ini hingga berlaku perpecahan ummah....wal hal ianya seakan perancangan yang berbeza pendapat....

Dan hal ini tidak akan berkesudahan hingga ke kiamat....walahualam.

Anonymous said...

Patutnya PAS memberi sokongan dan memudahkan Datuk Ayub Rahmat ni.bukan beri tekanan lagi. Hadui..

ummat yang blur said...

Sslam, anon 2.54 pm, PAS memang beri sokongan terhadap cadangan ADUN umno johor tu cuma tidak disiarkan oleh media arus perdana. Hukum Hudud ini perlu diterangkan sejelas-jelasnya kerana bukan sahaja non-muslim tak faham tapi ada juga umat islam sendiri blur tentang hudud. Saya sebagai umat islam menyokong penuh hukum hudud dilaksanakan tapi terus terang dikatakan saya sendiri pun tak memahami secara jelas dari A to Z mengenai hukum hudud ini. Diharap pihak yang berkenaan dapat membuat seminar, ekspo, dialog, wacana ilmu, simposium, debat atau sebagainya supaya rakyat malaysia yang muslim dan non-muslim dapat mengetahui secara detail hukum hudud ini. Saya percaya ramai lagi umat Islam di Malaysia ini yang tak tahu. Pembacaan sahaja tidak mencukupi kena ada pakar yang menerangkannya. Wassalam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails