Sunday, August 19, 2012

Idulfitri: Kemenangan Menentang Kebatilan


Oleh

Datuk Harun Taib,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

KULIAH URA (UNIVERSITI RAMADHAN AL-MUBARA


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Bersyukur kita kepada Allah s.w.t di atas limpah kurniaNya yang tidak terkira yang masih meletakkan diri kita di dalam arus perjuangan menegakkan agama Allah di dalam wadah perjuangan PAS untuk mendaulatkan kalimahNya.

Ramadhan hanya menghitung hari untuk ke penghujungnya. Ianya merupakan madrasah tarbiah yang mendidik jiwa kita supaya lebih mengasihi Allah dan RasulNya mengatasi kasih kita kepada perkara-perkara yang lain.

Alhamdulillah sepanjang bulan Ramadhan kita telah berjaya mendidik diri kita bencikan kebatilan dan kezaliman apatah lagi ketika umat Islam pada hari ini berhadapan dengan ujian dan mehnah yang benar-benar menguji sejauh mana keimanan kita kepada Allah s.w.t.

Oleh kerana itulah, Eidul Fitri merupakan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam di atas kejayaan menentang segala bentuk hawa nafsu di sepanjang bulan Ramadhan. Kita berharap kemenangan menentang hawa nafsu dan kebatilan ini dapat dilakukan secara berterusan selepas ini dan diterjemahkan dalam erti kata yang lebih berkesan dan lebih besar untuk merungkai segala bentuk rangkaian jahiliah dan kezaliman di dalam negara ini untuk digantikan dengan kesejahteraan Islam.

Situasi politik semasa di negara ini sekarang menuntut kita sebagai umat Islam untuk kembali kepada panduan Al-Quran dan Sunnah dalam memimpin kehidupan manusia. Tidak ada sistem dan cara hidup yang lebih agung melainkan kita kembali kepada sistem dan panduan Islam sepertimana yang ditinggalkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Menjadi suatu tanggungjawab kepada umat Islam untuk mengembalikan kemenangan dan kedaulatan Islam di atas runtuhan sistem buatan manusia. Semangat kemenangan pada bulan Ramadhan mengatasi hawa nafsu hendaklah diteruskan pada setiap masa dan di mana sahaja kita berada sehingga kita memperolehi kemenangan yang hakiki iaitu keredhaan Allah s.w.t di hari akhirat kelak.

Kita hendaklah mengingati kata-kata saidina Umar ibn al-Khattab, "Kita adalah satu kaum yang telah diberi kemuliaan oleh Allah s.wt. dengan islam, bagaimanapun, jika kita mencari kemuliaan itu dengan sesuatu yang dihina oleh Allah s.w.t maka kita akan dihina oleh Allah."


Yakinlah wahai para pejuang islam. Sekian. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Datuk Harun Taib,
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

No comments:

Post a Comment