By Tariq Ramadan
KULIAH URA (UNIVERSITI RAMADHAN AL-MUBARAK)
MENJADI
seorang Muslim seakan-akan sudah sinonim dengan menjadi seseorang yang
diajukan pelbagai soalan pedas, sentiasa dalam situasi tegang,
ketidakpercayaan, dan juga konflik.
Perkara ini telah menjadi satu fenomena global yang meninggalkan
kesan yang mendalam kepada hubungan antara komuniti, termasuklah retorik
politik dan polisi di peringkat negara, rantau dan juga antarabangsa.
Hari-hari
kita tidak akan berlalu tanpa ‘isu berkaitan Muslim’ menjadi perhatian,
sama ada melalui kontroversi di peringkat lokal, konflik serantau, atau
debat nasional, juga melalui keganasan, ekstremisme atau literalisme,
atau mungkin juga melalui kebangkitan parti-parti politik Islam di
Tunisia, Maghribi dan Mesir (yang bertahun lamanya selepas kemenangan
pilihanraya di Palestin).
Islam, tanpa mengira fahaman
ekstremisme, literalisme atau pun politik, telah menjadi satu isu;
maklumat yang tersebar luas di era globalisasi mencipta satu kelompok
pemikiran sedunia yang penuh dengan kecurigaan, ketidakpercayaan dan
mungkin juga stigma, sambil mencetuskan reaksi defensif dari Muslim yang
berlegar dari perasaan menjadi mangsa hinggalah kepada keagresifan yang
tidak terkawal.
Pendek kata, sekarang adalah masa yang amat
sukar untuk menjadi seorang Muslim, yang terpaksa berhadapan dengan
pelbagai cabaran, sama ada di peringkat lokal mahupun global. Kekeliruan
telah tersebar dengan meluas. Semuanya dilihat seperti berkait rapat,
segala kucar-kacir telah dicampuradukkan di dalam arus liputan media
yang amat mustahil untuk dianalisa dan ditafsirkan.
FIFA
(Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) akhirnya menerima pemakaian
tudung, tetapi Perancis masih tetap menolak idea tersebut. Demonstrasi
jalanan terhadap undang-undang Syari’ah berlaku di London, protes
terhadap aplikasi undang-undang Syari’ah pula berlaku di US. Empat ahli
majlis perbandaran Perancis dipecat, dan kemudian dilantik kembali,
hanya kerana mereka berpuasa di bulan Ramadhan.
Di Belanda, Muslim berhadapan dengan fitnah yang nyata. Semuanya
diperbesarkan melalui liputan media masa nyata dan juga internet, sama
halnya dengan kebangkitan politik Islam dan kebangkitan Arab, perang
saudara yang mengganas di Syria, persoalan Israel dan Palestin,
ketegangan antara Syi’ah dan Ahlus Sunnah, insiden meruntuhkan makam di
utara Mali oleh golongan Salafi literalis, dan juga kebangkitan
suara-suara yang mendesak aplikasi undang-undang Syari’ah yang lebih
ketat di Pakistan, Malaysia dan sesetengah negara monarki.
Media
juga tidak terlepas pandang isu penindasan terhadap Muslim di China,
dan sekarang, di Myanmar, dan juga ketegangan antara agama di merata
tempat di negara-negara Afrika dan Asia.
Situasi yang melanda
masyarakat sedunia ini membuatkan isu berkaitan Islam ini timbul di
serata tempat: ia muncul dalam persoalan utama kewujudan agama-agama,
juga dalam hubungan ketamadunan, dalam isu sekularisasi, dalam pemilihan
ideologi dan model bagi struktur negara, dalam hubungan antara budaya
dan globalisasi, dalam isu masyarkat bertamadun dan masa hadapannya, dan
dalam isu status wanita dan rakyat.
Kita tidak dapat mengelak
dari berhadapan dengan isu berkaitan Islam: setiap manusia yang
bertanggungjawab kini berhadapan dengan persoalan-persoalan berkaitan
Islam dan mereka tentunya akan menilai fakta-fakta yang ada, membuat
kesimpulan dan seterusnya mengambil pendirian berkenaan
persoalan-persoalan tersebut.
Pelobi-pelobi yang berkuasa dan
pihak yang berkepentingan memperloleh kelebihan yang banyak dengan
mengekalkan tekanan ideologi dan media yang sedia ada, dengan niat yang
jelas untuk menukarkan Islam kepada ancaman dan Muslim kepada entiti
yang tidak jelas dan berbahaya.
Cubalah imbas kembali kata-kata
David Yerushalmi (pengasas kempen anti-Syari’ah di US) “Walaupun cubaan
untuk meluluskan penggubalan undang-undang anti-Syari’ah gagal, perkara
yang lebih penting adalah untuk menimbulkan desas-desus berkenaan
perkara ini, seterusnya menuai hasil kontroversi dan meyakinkan rakyat
kebanyakan bahawa Islam adalah ancaman kepada mereka.”
Kegagalan
teruk kempen anti-Islam mungkin dilihat sebagai kejayaan besar
disebabkan hebohan yang ia cipta. Logik yang sama digunapakai oleh
populis di banyak negara; media yang beroperasi dengan sistem yang sama
digunakan dalam membuat liputan di negara yang majoritinya Muslim.
Kebanyakan
media Barat mengunci mulut mereka serapat-rapatnya berkenaan
pemerintahan diktator Zine Al Abidine bin Ali ataupun Hosni Mubarak, dan
ini dengan cepatnya memberi sokongan kepada penggunaan sistem demokrasi
yang mula mengambil tempat melalui sensitiviti terhadap isu wanita,
homoseksual dan minoriti agama dalam rejim penggantinya.
Isu
tentang diktator inilah sebenarnya antara yang isu yang tidak pernah
dibincangkan, dan ia hanya dibisikkan sesama sekutu sendiri di Teluk.
Dan sebenarnya, liputan media yang mempunyai ideologi tersendiri dan
pengubahan maklumat adalah antara isu yang makin disedari rakyat.
Apa
yang saya cuba sampaikan bukanlah satu ‘konspirasi global’ terhadap
Islam dan terhadap Muslim, seperti sesetengah dari kita bayangkan. Sudah
pasti, golongan yang berkepentingan menyebarkan ideologi tersendiri
sudah tentunya wujud; tetapi ia adalah sama pasti bahawa mesin media dan
reaksi politik yang diprovokasinya telah membentuk satu kitaran yang
ganas.
Kontroversi memarakkan sifat ingin tahu masyarakat awam,
yang kemudiannya membekalkan strategi kepada pihak populis, yang
akhirnya akan memacu strategi pilihanraya jangka pendek: media
kemudiannya akan meneruskan rentak tarian mereka di hadapan kumpulan
yang akan terus setia menontonnya.
Dalam era berteknologi tinggi
ini, dengan sistem pemprosesan maklumat yang pantas dan persaingan
global, Islam sebenarnya sangat bertuah. Tidak syak lagi: Islam membuat
keuntungan, keuntungan yang sangat banyak. Terperangkap antara idea
manipulasi dan logik para kapitalis, Islam – dan besertanya nasib Muslim
– akan mendapati diri mereka sebenarnya dalam dinamik yang negatif,
bukannya tertindas.
Bagaimana kita mahu membebaskan diri kita
dari dinamik yang negatif ini? Bagaimana, yang lebih penting, untuk kita
keluar dari pemikiran seorang mangsa, yang melanda kita setiap kali
media dan tsunami politik menukar Islam kepada sebuah ancaman global,
yang akan memusnahkan semua perkara yang berada dalam laluannya?
Paradoksnya,
di waktu Islam dalam dinamik yang sangat negatif, keadaan sukar ini
sebenarnya mengandungi banyak elemen yang diperlukan untuk mengatasi dan
melangkah lebih jauh dari masalah tersebut. Bila orang ramai
bertanya tentang Islam dan Muslim – selalunya dalam keadaan tidak tahu,
Muslim sebenarnya dihadiahkan peluang yang terbaik untuk menjelaskan,
mendidik, dan berdialog dengan mereka.
Jika ketaranya mereka
terhadap pandangan sedunia dilihat sebagai satu masalah kerana kod
pakaian, nama dan warna kulit, maka penyelesaian untuk masalah ini tidak
kurang ketaranya. Era moden telah memanggil Muslim untuk
berjuang dalam skop jihad yang global, yakni dalam ilmu pengetahuan,
dalam pendidikan, dalam dialog, dalam komunikasi dan dalam ketahanan
diri.
Ia adalah jihad yang tenang, yang mendamaikan, yang tidak
ganas; bagi mereka yang telah mengucap dua kalimah syahadah. Titik
permulaan kita adalah kefahaman tentang diri sendiri, dan kritikan
terhadap diri sendiri yang dapat menjauhkan kita dari penipuan fahaman
yang ekstrem dan pencambukan terhadap diri sendiri.
Hati nurani
seorang Muslim mestliah bangkit, ia mestilah dapat membezakan apa yang
Islam dan apa yang tidak (dengan mengambil kira isu kepelbagaian dan
pluralism), dan untuk mengecam hipokrasi dalam kedua-dua aspek kendiri
ataupun ideologi populis.
Hati nurani yang terbuka akan mampu
menerima persoalan-persoalan yang munasabah dari majoriti yang mencari
kefahaman, dan hati nurani yang berani akan mampu menghadapi isu
perkauman minoriti yang menipu, mendustakan dan memanipulasikan.
Komitmen kita mestilah bersifat individu, tempatan, nasional dan sedunia. Dinamik hari ini yang membuatkan
Islam menjadi satu masalah juga telah menukarkan Islam kepada pelbagai
persoalan: dan kini ia adalah tanggungjawab keseluruhan umat Islam leaki
dan perempuan untuk mara ke hadapan dengan jawapan-jawapan yang
menyakinkan.
* Ihsan: Gulf News. Tariq Ramadan adalah ahli
akademik Switzerland dan profesor dalam bidang Pengajian Islam
Kontemporari di Universiti Oxford. Dia juga mengetuai Pusat Penyelidikan
Penggubalan Undang-Undang Islam dan Etika yang berpusat di Qatar. (IH)
Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-58: 'Universiti Ramadzan' Al-Mubarak.
No comments:
Post a Comment