Monday, August 13, 2012

Lailatur Qadar & Rohingya Myanmar

Rohingya Muslims who fled Burma to Bangladesh to escape religious violence, sit in a boat after being intercepted crossing the Naf River by Bangladeshi border authorities. Pic: AP.

KULIAH URA (UNIVERSITI RAMADHAN AL-MUBARAK)

Namakan apa sahaja yang sedang berlaku pada umat Islam Rohingya di Burma dengan pelbagai nama, pembersihan etnik, perselisihan saudara, pertembungan agama, penganiayaan hak asasi, atau apa sahaja nama yang boleh mendefinisikan keadaan semasa di Burma, isunya yang lebih utama adalah di mana kita selaku saudara seaqidah mereka?

Sabda Rasulullah SAW,  
  • “Barang siapa yang tidak mengambil peduli urusan umat Islam, maka dia bukan sebahagian dari kalangan mereka.”

Mungkin kita kini sibuk mengejar Lailatul Qadr, bertelingkah malam ke berapa Lailatul Qadar, sibuk membuat persiapan raya dengan langsir dan kerusi baru, ada yang sibuk dengan persiapan untuk pilihan raya, ada yang sibuk mengira-ngira apakah yang mahu dibeli untuk dibuat juadah berbuka puasa hari ini esok lusa tulat, ada yang masih berkelahi raya tahun ini nak pakai baju raya tema warna apa, ada yang berbalah nak beli lemang jagung atau lemang tak berjagung, ada pula yang sedang sibuk mengejar khatam Quran sementara berbaki Ramadan yang mulia ini.

Pada yang sudah berjaya mengkhatam Quran, tahniah, sekiranya kita sudah khatam Quran, bukankah sepatutnya pula kita sudah melompat pula ke satu tingkat yang lebih tinggi? Memahami pula apa yang dibawa oleh Quran? Bukankah Quran ini arahan daripada Allah untuk kita hidup bahagia di atas bumi ciptaan-Nya ini? Tidakkah Quran telah menyatakan dalam Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:
  • “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Umat Islam Rohingya memerlukan bantuan, sepertimana di Syria, Palestin, Afghanistan, dan di mana-mana sahaja umat Islam menetap di muka bumi Allah ini, mereka memerlukan perhatian saudara seaqidah mereka. Pemecahan tembok nasionalisme ini tidak akan pernah menyingkirkan kesatuan aqidah kita dengan mereka. Kezaliman yang dirasakan mereka dirasakan juga oleh kita. Cubit peha kanan, satu badan terasa sakit. Tidak ada perbezaan antara kita dan umat Islam di mana ceruk bumi sekalipun.

Jangan buat-buat buat tidak tahu saudara kita di tempat lain menderita kehidupannya dengan kita bergelak ketawa menikmati hidangan berbuka puasa yang bertimbun timbun di atas meja. Jangan menafikan hak saudara seaqidah kita ke atas kita. Jangan tidak sekalipun terlintas di hati kita untuk membantu mereka hatta dengan sebiji kurma yang kita genggam untuk dijadikan sunnah berbuka puasa.

Cukuplah kita jadi penakut kepada kezaliman di negara sendiri, cukuplah kita jadi buta kepada nasib saudara seaqidah kita di atas bumi Allah, cukuplah kita hanya jadi penonton apabila Islam dihina dan dikeji, cukuplah kita jadi bakhil kepada perjuangan Islam, cukuplah kita sekadar menjadi pendengar, cukuplah kita hanya sekadar menjadi orang yang kagum kepada kerajaan Turki yang telah mendahului kita memberikan bantuan kepada umat Islam Rohingya.

Cukuplah kita sekadar berbincang di kedai kopi tanpa amal Islami, cukuplah wahai saudaraku, cukuplah semua ini. Cukuplah jadikan hidup anda hanya untuk mencari makan dan mencari tempat untuk berteduh. Cukuplah kita sekadar menjadi buih-buih di lautan yang cintakan dunia dan takutkan mati. Cukuplah. Jadikanlah Ramadan ini, satu industri mega yang pada akhirnya nanti, industri ini akan berjaya menghasilkan “hasil” matlamat Ramadhan yang sebenar-benarnya iaitu insan yang bertaqwa.

Siapa insan yang bertaqwa ini? Allah berfirman yang bermaksud:
“Bukanlah dianggap kebajikan itu hanya sekadar menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah 
  • beriman kepada Allah, 
  • hari kemudian, 
  • malaikat-malaikat, 
  • kitab-kitab, 
  • nabi-nabi 
  • dan memberikan harta yang dicintai kepada kerabatnya, 
  • anak-anak yatim, 
  • orang-orang miskin, 
  • musafir yang memerlukan pertolongan, 
  • dan orang-orang yang meminta-minta 
  • dan memerdekan hamba sahaya, 
  • mendirikan solat 
  • dan menunaikan zakat, 
  • dan orang-orang yang menepati janji apabila dia berjanji 
  • dan orang-orang yang sabar dalam menghadapi kesempitan, penderitaan dan di dalam peperangan. 
Mereka itulah orang-orang yang benar keimanan mereka dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Baqarah : ayat 177)

(Diangkat dai Izwan Noor -Hrkh)

Sila berkuliah..
E-Buku IH-58: 'Universiti Ramadzan' Al-Mubarak.
E-Buku IH-58: 'Universiti Ramadzan' Al-Mubarak.

No comments:

Post a Comment