Oleh
HUDUD adalah salah satu daripada cabang hukum jenayah mengikut syariat
Islam, wujudnya bersama Qisas dan Takzir. Hukum hudud adalah hak ALLAH
yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadith-Hadith Mutawatir yang
menjelaskan kesalahan dan hukumannya, dasar dan sebahagian huraiannya.
Bagi
penganut Islam seluruhya maka tentulah wajib beriman dan beramal dengan
Islam yang menjadi agama cara hidup. Tuntutan untuk beriman dan beramal
dengan Islam adalah bukan sahaja
wajib ke atas ahli Pas dan penyokongnya, bahkan juga wajib kepada semua
penganut Islam dalam NGO atau secara individu dan ahli mana-mana parti
politik, termasuklah ahli Umno yang beragama Islam, walaupun Umno adalah
sebuah parti kebangsaan yang membuka pintu keahlian kepada bumiputra
bukan Islam seperti orang asal dan Siam.
Seluruh majoriti penganut Islam dalam Umno wajib beriman dan beramal
dengan Islam mengikut panduan al-Quran dan Sunah, sama sahaja dengan
ahli Pas dan penyokongnya. Ayat-ayat al-Quran yang menyatakan hukum dan
perintahnya, antara lain telah dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam Surah
Al-Maidah dan Surah Al-Nur, di mana kedua-duanya adalah surah Madaniyyah
(yang diturunkan di Madinah).
Adapun melaksanakan undang-undang syariat Islam seperti hudud, qisas
dan takzir ini pula wajib melalui proses kehakiman Islam dan sistemnya
yang adil. Maka haram dilaksanakan secara spontan oleh individu, atau
keluarga atau JKK peringkat kampung atau kumpulan atau penguasa daerah
atau negeri, tanpa suatu proses kehakiman.
Sistem kehakiman Islam pula dipayungi oleh kuasa politik sepenuhnya
dengan adanya Negara Berdaulat atau kerajaan yang berkuasa. Di sinilah
maka Rasulullah SAW tidak melaksanakan undang-undang hudud ketika
berdakwah di Makkah iaitu ketika tidak mempunyai kuasa pemerintahan.
Pelaksanaannya berlaku di Madinah iaitu setelah adanya kuasa negara
dalam sistem politik dengan penubuhan kerajaan yang berdaulat dan
mengadakan sistem kehakiman melalui seluruh perjalan mahkamah. Adanya
penganut bukan Islam dalam masyarakat majmuk adalah tidak menjadi
halangan, di mana banyak ayat-ayat dalam surah Madaniyyah yang sebab
turunnya adalah bagi menjawab kalangan bukan Islam yang menentang hukum
hudud dan sebagainya, dalam keadaan mereka berada bersama masyarakat
majmuk di-Madinah.
Pelaksanaanya pula tanpa menunggu seluruh rakyat faham atau bersetuju
kerana kefahaman berlaku dan terjadi melalui proses pelaksanaanya.
Akhirnya seluruh anggota masyarakat Madinah menerima hukum hudud,
termasuklah bukan Islam secara tanpa paksaan, setelah mereka melihat
kesannya yang mampu mendidik masyarakat, keadilannya yang menyeluruh dan
wujudnya rasa selamat dari gangguan penjenayah.
Perlu juga kita fahami bahawa hukumannya adalah sangat menggerunkan
tetapi syarat menjatuhkan hukuman dan pelaksanaannya adalah sangat sukar
atau ‘sangat memayahkan’ dengan syarat-syaratnya yang sangat ketat. Ini
berlaku apabila individu yang dituduh atau wakil (peguamnya) mengadakan
hanya sedikit alasan yang kecil, maka hukuman hudud tidak boleh
dijatuhkan, pilihannya sama ada dibebaskan atau dikenakan hukuman takzir
yang lebih ringan daripadanya.
Hujah bahawa hudud sangat sukar dikenakan akan menyebabkan penjenayah
terlepas adalah sama sekali tidak benar kerana hukuman takzir dalam
kerangka hukuman yang sedia ada seperti Penal Code pada waktu ini pula
akan mengambil tempatnya. Manakala tindakan bertaubat di luar mahkamah
adalah lebih digalakkan daripada diheret ke mahkamah.
Hukuman hudud tidak dijatuhkan ke atas penjenayah oleh beberapa
khalifah Islam, bukan kerana meninggalkannya, tetapi kerana syaratnya
tidak mencukupi. Pas hanya berkuasa di peringkat negeri Kelantan dan
pernah di Terengganu melalui sistem demokrasi dan federalisme.
Umno pula melanggar adab dan akhlaknya apabila tidak menghormati konsep
demokrasi dan federalisme ini dengan mendera rakyat negeri Kelantan dan
Terengganu yang menolak Umno-BN dalam pilihan raya itu. Walaupun
berdepan dengan kekangan ini, Pas tetap secara konsisten melangkah
menunaikan kewajipannya melaksanakan Islam sebagai ad-Din.
Akhirnya, Undang-undang Jenayah Islam bersama undang-undang yang lain
telah dibentang dan diluluskan melalui Dewan Undangan Negeri (Dun) yang
dipilih melalui pilihan raya umum. Peringkat pertama, Pas menang di
Kelantan di awal 90-an bersama Semangat 46.
Dalam melaksanakan amanah ini, Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Pas
dengan berpandukan bidang kuasa kerajaan negeri, di antaranya
melaksanakan beberapa aspek hukum Islam di bawah kuasa Majlis
Perbandaran dan Daerah seperti menghapuskan lesen premis perjudian serta
mengawal penjualan arak bagi rakyat bukan Islam sahaja serta
membenarkan perkara yang diizinkan oleh agama masing-masing, termasuk
dalam perkara hak penganut agama bukan Islam yang wajib dilindungi.
Bagi undang–undang jenayah Syariat, kerajaan negeri terlebih dahulu
menyusun daripada nas al-Quran dan Hadis. Ia disusun secara terkini oleh
kalangan para ulama dan pakar undang-undang daripada kalangan Pas
bersama ahli-ahli akademik daripada pusat pengajian tinggi.
Setelah selesai maka ianya dibawa kepada umum sebelum dibentang ke
dalam Dun Kelantan. Draf cadangannya pula telah terlebih dahulu
dibentangkan dalam satu seminar yang diadakan di Hotel Concorde Kuala
Lumpur di mana semua parti politik dan NGO Islam dan bukan Islam telah
dijemput. Proses yang sama dilakukan di Terengganu semasa pemerintahan
Pas bersama rakan-rakan yang lain.
Pas juga menerima kunjungan para diplomat asing bukan Islam dan NGO
human rights antarabangsa yang datang meminta penjelasan, dengan semua
persoalan yang dibangkitkan telah dijawab dengan baik oleh pimpinan Pas
di negeri Kelantan dan Terengganu. Ahli Parliman Pas juga pernah cuba
membawa usul pindaan perlembagaan beberapa kali dalam tahun 90-an,
tetapi dihalang oleh proses peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dan sengaja
diletakkan dalam senarai yang akhir tanpa kesempatan dibahas, apatah
lagi untuk ke peringkat kelulusan.
Semuanya menunjukkan bahawa Psd hingga kini, dan akan datang, akan
terus mempertahankan matlamat dan cita-citanya secara terbuka, menerusi
ruang demokrasi yang ada. Pas akan terus berpegang kepada batas
kerjasama tahaluf siyasi (persefahaman) mengikut batas hukum Islam yang
menjadi hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuh Pas.
Dalam masa yang sama Pas juga menghormati dan mengakui akan perbezaan
pandangan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) dalam beberapa
perkara, tetapi semuanya tidak menghalang untuk Pas kukuh bersama dengan
rakan-rakan PR ini untuk bergerak di atas 'common policy platform' yang
telah dipersetujui dan kebersamaan untuk memerangi salah guna kuasa,
rasuah, ketirisan, demokrasi songsang amalam BN sejak sekelian lama,
dasar ekonomi pincang yang menekan rakyat dan sebagainya.
Ternyata sejak lebih 50 tahun berada di tampuk kuasa, Umno-BN tidak
menunjukkan minat untuk melakukan perubahan yang dinyatakan di atas, di
mana mereka hanya berminat membolot kuasa politik dan pemerintahan untuk
meneruskan kerakusan mereka sahaja.
Perlu juga kita ingat, bahawa Umno adalah parti paling besar menguasai
Kerajaan Negeri dan Pusat serta memimpin Barisan Nasional kerana berjaya
memujuk bangsa melayu Islam mengundinya setiap kali pilihan raya umum.
Kerajaan Umno-BN ini mempunyai kuasa Negeri dan Pusat berlipat kali
ganda lebih daripada Pas.
Mereka berkuasa ke atas Institut Kefahaman Islam Malaysia, Jabatan
Kemajian Islam Malaysia, Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Agama di
banyak negeri dan Pusat Pengajian Tinggi berbagai bidang. Hingga kini
Umno turut juga mempunyai mantan pemimpin Pas yang tidak sabar bersama
Pas kerana terlalu lambat mendapat kuasa di peringkat pusat, lalu
bergayut dengan Umno yang lebih banyak kuasanya di peringkat negeri dan
pusat walaupun mereka tetap tidak melaksanakan tuntutan Islam ini.
Hakikatnya ialah Umno wajib meletakkan pelaksanaan syariat Islam
seperti hudud ini di atas kepala dan bahu mereka, bukannya disepitkan di
bawah ketiak untuk hanya dipergunakan bila melawan Pas atau untuk
mendapat undi pilihan raya semata-mata.
Setelah lebih 50 tahun diberikan kuasa, maka Umno wajiblah mempengaruhi
rakannya dalam BN bagi melaksanakan syariat Islam dan seluruh hukum
Islam yang diperintahkan oleh ALLAH SWT. Pas pula tentulah wajib
menyokong segala usaha melaksanakan hukum ALLAH, termasuklah
melaksanakan perubahan menyeluruh terhadap sistem ekonomi dan keadilan
dalam masyarakat, membenteras rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya
daripada semua pihak.
Maka berdosalah Pas kalau tidak menyokong dan menolong jika ada usaha
ikhlas dan langkah daripada Umno atau mana-mana pihak yang benar-benar
menegakkan hukum Islam. Malangnya hingga kini tidak ada tanda dan alamat
ke arah itu. Bahkan, seorang Perdana Menteri dari kalangan pimpinan
tertinggi.
Umnolah yang menghantar surat rasmi kepada Kerajaan Pas Kelantan suatu
masa dahulu untuk diambil tindakan sekiranya kerajaan Kelantan berkeras
ingin melaksanakan hukum Islam ini. Perlu difahami oleh kita semua,
bahawa hukum ALLAH adalah amanah daripada ALLAH, kepada sesiapa sahaja
yang mengaku Islam apabila menjadi pemimpin yang memegang kuasa
pemerintahan, bukan hanya khusus kepada Pas sahaja.
Kalau tidak menunaikan amanah ini bermakna khianat, dan sesiapa yang
menyokong dan mendukungnya juga adalah pengkhianat terhadap ALLAH dan
Rasul Nya SAW. Laknatnya lebih besar apabila melihat kemungkaran dan
jenayah merebak di hadapan mata kerana gagalnya undang-undang ciptaan
manusia, namun tetap mempertahankan undang-undang yang nyata lemah dan
sesatnya.
Malangnya Umno hanya memalu gendang kosong melalui gendang media yang
dikuasainya supaya Pas bersilat dengan DAP dan ramai yang menjadi
pemerhati dan menunggu Pas keletihan, atau dipersalahkan, lalu tarikh
pilihan raya pun diumumkan.
Umno tidak menjawab apabila MCA berkata Umno jangan hilang akal dengan
hukum hudud. Malangnya Umno terus mengulit orang Melayu Islam dengan
gendang dan alat medianya supaya terus menjadi bangsa khayal dengan
janji, bangsa pelupa dan mudah lupa terhadap kesalahan, tenggelam dalam
jahil murakkab (tidak tahu, buat macam tahu).
Kepada sesiapa yang berkemampuan dan berkenaan pula, termasuklah
pengamal media arus perdana, jangan selama-selamanya menjadi tukang sapu
Umno dan pembawa sampahnya, jagalah maruah diri dan agama sebelum pintu
taubat ditutup.
Pas tetap istiqamah dan menerima setiap pandangan yang membina dan
menentang tanpa berganjak terhadap semua penghalang, yang datang
daripada segenap penjuru dan semua kalangan, sama ada kerajaan, bukan
kerajaan, dalam negara dan luar negara, kerana yakin kepada Islam adalah
daripada ALLAH Pencipta Alam seluruhnya. (IH/SH)
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden Pas
No comments:
Post a Comment