KUALA LUMPUR: Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul
Hadi Awang, berkata apa yang lebih penting dari pengumuman insentif
dalam bajet adalah mekanisma penyampaiannya kepada rakyat.
Menurut beliau, tidak guna jika pengumuman dengan angka dan jumlah
berbilion ringgit tetapi manfaatnya tidak sampai dan tidak dirasai
rakyat. Malah lebih menyedihkan, tambah Ahli Parlimen Marang
itu, perlaksanaannya selama ini hanya lebih menguntungkan kroni
berbanding rakyat kebanyakan.
"Bajet bukan sekadar angka-angka
dan duit berbillion untuk melaksanakan projek semata-mata, tetapi yang
lebih penting ialah bagaimana membetulkan prinsip dan pelaksanaannya
serta kesannya selama ini telah tidak sampai kepada manfaat rakyat
terbanyak.
"Projek-projek berskala besar pula dipergunakan
untuk mendapat laba keuntungan berlipat ganda menerusi naungan dan kroni
politik Umno-putra," katanya kepada Harakahdaily.
Kenyataan itu sebagai ulasan ringkas terhadap Bajet 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini. Najib yang juga Menteri Kewangan hari ini mengumumkan bajet dengan
jangkaan hasil kerajaan pada 2013 sebanyak RM208.6 bilion berbanding
RM207 bilion pada 2012.
Beberapa isentif bersifat "one-off"
juga diumumkan termasuk bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar
sekolah dan baucar buku RM250 kepada pelajar universiti. Selain
itu beliau turut mengumumkan Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M) RM250
kepada individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan
bawah RM2,000 serta pemberian bonus sebulan setengah kepada penjawat
awam.
Biarpun menyambut baik pengumuman insentif itu, namun apa yang harus dibimbangi adalah mekanisme penyampaiannya.
"Selama puluhan tahun dibentang dan dijanjikan, rakyat perlu sedar
tentang ketirisan berbillion duit khazanah negara yg telah hilang entah
ke mana," kata Tuan Guru Abdul Hadi. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment