DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan pembentangan Belanjawan PR 2013
yang bertemakan "Ekonomi Rakyat Negara Berkat". Ianya dengan tepat
memberi penekanan kepada tiga agenda memacu kebajikan rakyat;
- a] meningkatkan pendapatan sebenar rakyat dan mengurangkan tekanan kos sara hidup,
- b] membina kumpulan rakyat berkeusahawanan dengan daya saing kompetitif dan
- c] mendaya masyarakat untuk mencapai keadilan dengan kemuliaan dan rasa penuh bangga.
Belanjawan PR ini menjadi satu lagi
bukti kemampuan Pakatan Rakyat di dalam merangka strategi alternatif
ekonomi nasional yang amat relevan untuk diangkat sebagai tawaran yang
membawa pembaharuan sebenar untuk Malaysia.
Kelak UMNO-BN dan pengampu-pengampu
mereka tidak boleh lagi berhujah bahawa Pakatan Rakyat cuma pandai
beretorik dan membuat omongan kosong kerana Belanjawan PR ini buat
kesekian kalinya telah menjelaskan tawaran kita secara objektif,
profesional dan bijaksana tanpa bersikap apologetik terhadap cabaran
ekonomi yang seolah-olah cuba disembunyikan oleh pemerintah.
Belanjawan ini tidak membuaikan rakyat
dengan gula-gula politik dan strategi perbelanjaan melampau seperti
Bajet kerajaan pada 2012 yang telah disifatkan oleh Tun Mahathir
Mohamad sendiri sebagai suatu rasuah politik.
Sebaliknya belanjawan setebal 98
mukasurat ini menyusun program perbelanjaan konstruktif untuk membina
jaringan keselamatan sosial bagi golongan miskin dan kelas ekonomi
menengah secara mapan dengan penekanan terhadap aspek perumahan, belanja
isirumah, pemilikan kenderaan dan pendidikan tinggi percuma tanpa
bebanan dari PTPTN.
Di dalam hal ini, kita juga komited
untuk merungkai monopoli UMNO-BN yang terus menerus menjerut dan
menghambat potensi sebenar sistem ekonomi kita, sama ada di dalam soal
bayaran tol sehinggalah amalan kolusi syarikat-syarikat besar yang
menjadi penyumbang dana kepada kelangsungan politik wang pemerintah yang
telah membarah.
Belanjawan ini penting sebagai bukti
kepada rakyat bahawa amalan korupsi, kolusi dan nepotisme UMNO-BN ini
boleh ditamatkan dengan langkah-langkah jitu dan realistik bersandarkan
kemahuan politik kuat pemerintah yang cuma akan hadir melalui Pakatan
Rakyat mentadbir Putrajaya pasca PRU ke13 nanti insyaallah.
Agenda-agenda besar Belanjawan PR ini
juga boleh dicapai berdasarkan kepada kebijakan yang terjana hasil dari
pengalaman mentadbir negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor
yang pastinya berguna untuk diaplikasikan di peringkat nasional.
Rakyat telah menyaksikan prestasi
kepimpinan PR yang telah berjaya mengekalkan integriti bebas rasuah di
samping kompeten, telus dan berhemat di dalam urusan pentadbiran walau
terus dimomok dengan pemberitaan berat sebelah dan layanan tidak adil
dari kerajaan pusat.
Malah kerendahan hati dan kesederhanaan
pemimpin menyantuni rakyat menjadi pembeza kepada gaya mewah pimpinan
UMNO-BN dan keluarga mereka. Atas dasar ini jugalah, kita yakin dengan
aspirasi untuk meningkatkan hasil mahsul negara sehingga 18% sebagai
sesuatu yang realistik bersandarkan kesungguhan dan keikhlasan
kepimpinan PR untuk mendepani isu ketirisan, rasuah dan kecekapan di
dalam urusan negara.
Dewan Pemuda PAS melihat Belanjawan PR
ini sebagai suatu lagi terjemahan kepada konsep Negara Berkebajikan yang
dicadangkan oleh PAS bagi memastikan kekayaan negara tidak lagi
berkisar di kalangan penguasa dan pemodal semata-mata, sedang ianya
adalah merupakan satu bentuk kezaliman.
Belanjawan ini menjadi satu manifestasi
strategi untuk merakyatkan kekayaan negara secara adil dan saksama agar
rezeki yang ada dirasakan cukup untuk semua orang dan semua urusan
sekaligus membebaskan rakyat dari cengkaman mafia ekonomi.
Bermula dari nurani tersebut, timbul
kesungguhan untuk terus berusaha mencambah kekayaan negara dan lahir
pula keikhlasan dari rakyat untuk memanjat doa dan pengharapan kepada
tuhan agar kebajikan dan kesejahteraan ini berpanjangan. Inilah kitaran
keberkatan yang cuba dicapai, bermula dengan perbentangan strategi
Belanjawan PR ini.
Aspek rububiyyah inilah yang tidak
mungkin dapat difahami oleh pemerintah yang terus menerus merasakan
penguasaan terhadap kekayaan negara adalah hak istimewa mereka secara
tradisi.
Dewan Pemuda PAS dengan ini mengucapkan
syabas dan tahniah di atas pembentangan belanjawan rakyat ini. Kita akan
melangkah penuh yakin untuk ke lapangan bagi menjelaskan visi dan
strategi Pakatan Rakyat membawa kemakmuran kepada rakyat.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment