Monday, October 08, 2012

Filipina Berdamai Dengan Barisan Moro

GAMBAR fail menunjukkan anggota-anggota Barisan Pembebasan Islam Moro berkawal di dalam sebuah pangkalan mereka di Kem Darapan, wilayah Sultan Kudarat, selatan Filipina pada 5 September 2011.

MANILA - Presiden Filipina, Benigno Aquino III mengumumkan semalam bahawa pentadbirannya mencapai persetujuan awal perjanjian damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang merupakan kumpulan pemberontak Islam terbesar di negara itu.

Beliau berkata, persetujuan itu merupakan satu kejayaan besar ke arah menamatkan pemberontakan yang berlanjutan selama sedekad di selatan negara itu. Menurut Aquino, rangka kerja persetujuan tersebut merupakan jaminan pemberontak MILF menamatkan perjuangan mereka untuk berpisah dari Filipina.
Persetujuan damai tersebut memberi laluan kepada penubuhan sebuah wilayah autonomi untuk penduduk minoriti Islam di selatan Filipina.

Perjanjian damai tersebut yang akan dimeterai pada 15 Oktober ini di Manila menggariskan prinsip asas berhubung beberapa isu utama termasuk pembahagian kuasa, hasil dan wilayah di rantau berpenduduk Islam tersebut.

Jika segalanya berjalan lancar, satu perjanjian damai yang muktamad akan ditandatangani menjelang tahun 2016 apabila penggal pemerintahan Aquino berakhir.

"Persetujuan asas memberi laluan kepada keamanan muktamad dan berpanjangan di selatan Filipina," kata Aquino.
"Ia bermakna tangan yang pernah mengangkat senjata (para pemberontak MILF) akan digunakan untuk berbudi kepada tanah, menjual produk dan membuka laluan untuk pelbagai peluang lain," tambahnya.

Persetujuan tersebut merupakan kejayaan terbesar proses rundingan dengan MILF yang memiliki 11,000 anggota sejak 15 tahun lalu. Pemberontakan MILF telah menyebabkan lebih 120,000 orang terbunuh dengan sekitar dua juta orang lagi menjadi pelarian selain membantutkan pembangunan di selatan Filipina. - Agensi

Lihat sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails