Saturday, October 13, 2012

'Gila Bayang' PR Umum Senarai Kabinet -Husam


Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa menegaskan beliau tidak mahu Pakatan Rakyat jadi "gila bayang" dengan mengumumkan senarai Kabinet selagi belum menawan Putrajaya.

Dalam satu temubual ekslusif bersama AntaraPos, Husam yang juga exco kerajaan negeri Kelantan berkata PAS lebih gemar mengambil sikap berdiam diri dari bercakap tentang perkara yang belum lagi berlaku.

Jelas beliau, kabinet Pakatan akan dibentuk jika tiga parti itu menguasai Dewan Rakyat seperti mana yang berlaku semasa mengambil alih pentabdiran Perak pada 2008. 

"Saya rasa kita tak boleh hidup dalam bayang-bayang, kalau kita nak buat kabinet bayangan...tapi kita belum dapat menang lagi, nanti orang kata kita gila bayang.
"Jadi biarlah ada kuasa dulu, dengan sendiri kita boleh kemukakan (kabinet). Dulu macam di Perak, kita tiada kabinet bayangan tapi bila Datuk (Seri) (Mohammad ) Nizar (Jamaluddin) jadi menteri besar dalam masa setahun Umno takut" kata Husam. 

Isu kabinet bayangan semakin hangat diperkatakan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencabar Pakatan menubuhkan kabinet bayangan sebelum berangan-angan menubuhkan kerajaan sebenar dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). 

Kata Najib, sehingga kini janji Pakatan mahu menubuhkan kerajaan bayangan masih belum ditunaikan kerana takut mahu mengagih jawatan sesama sendiri. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata sekiranya Pakatan ikhlas memperjuangkan sistem demokrasi lebih matang, gabungan itu seharusnya menubuhkan kabinet bayangan selepas pilihan raya umum 2008.

Beliau berkata langkah progresif ini perlu yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun amalan sistem kabinet bayangan masih samar di negara ini. Husam berkata PAS mempunyai ramai pemimpin berkebolehan seperti yang terbukti apabila Nizar Jamaluddin menerajui Perak selepas pilihan raya umum 2008. 

"Jadi saya nak tanya, pada masa itu saudara kenal tak Nizar? Tapi bila kita lantik dia, semua orang kata dia baik sebagai menteri besar. Jadi kalau kita bentuk kerajaan Malaysia, ada 100 lagi Nizar dan 100 orang lagi macam tok guru (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat)...macam tok guru haji (Datuk Seri) (Abdul) Hadi (Awang).
"Jadi beri peluang dulu, tak perlu dok bayang-bayang benda itu," ujarnya. 

Polimik kabinet bayangan dihangatkan lagi oleh pemimpin-pemimpin PKR baru-baru ini. Timbalan Presidennya Azmin Ali mendakwa Menteri Besar .Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan ditukar menjadi Menteri jika Pakatan menang PRU 13.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menjanjikan jawatan-jawatan Kabinet kepada penyandang jawatan-jawatan utama dalam PKR, DAP dan PAS.

Sumber: AntaraPos (IH/Syed Muaz Syed Putra)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails