KOTA BHARU: Kelantan hari ini mengumumkan membayar
bonus satu bulan setengah gaji kepada semua kakitangan awam negeri, di
mana setengah bulan gaji dibayar Ogos lalu. Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan perkara itu ketika membentang Bajet Kelantan 2013.
Teks belanjawannya dibaca Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa. Menteri Besar berkata, baki selebihnya akan dibayar pada bulan Disember ini dan Januari 2013.
Katanya juga budaya Kerja Berprestasi Tinggi yang berpegang
Ubuddiyyah, Masuliyyah dan Itqan membolehkan Pejabat Setiausaha Kerajaan
Negeri (SUK) memperolehi empat bintang dalam penilaian “Star Rating”
dan menduduki tangga ke empat daripada 13 pejabat SUK di negara ini pada
2011.
Manakala dalam bidang ICT Pejabat SUK juga mencapai taraf lima
bintang bagi persembahan Portal Rasmi Kerajaan Negeri dua tahun
berturut-turut. Kerajaan negeri juga melalui bahagian ICT mewujudkan RTV Kelantan
membabitkan kos sejumlah RM257,000 bagi menyalur maklumat kerajaan
kepada orang ramai.
Menteri Besar juga berkata, bagi memberi keselesaan kepada anggota
perkhidmatan awam peruntukan sebanyak RM42.5 juta disediakan bagi
membina bangunan Blok 8 dan ia kini sedang giat dijalankan dan dijangka
siap tempoh tiga tahun.
Mengenai pencapaian dalam bidang pendidikan katanya, kecemerlangan
pelajar di bawah kelolaan Yik memberangsangkan, di mana pada 2011
seramai 379 pelajar berjaya mendapat keputusan 9A dalam PMR, 1,384
mendapat pangkat Mumtaz dalam Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMU).
Manakala tiga pelajar mendapat 12A, 49 orang (11A) dan 43 (10A) dalam peperiksaan SPM pada 2011. Pada 2012 Yik mengurus seramai 364 pelajar menyambung pengajian ke
luar negara iaitu Mesir, Jordan, Kuwait, Maghribi dan Arab Saudi.
“Kerajaan juga menyediakan RM2 juta kepada Yayasan Kelantan Darulnaim
bagi meneruskan kesinambungan menyalurkan penajaan dan bantuan kepada
anak-anak Kelantan,” katanya. (Hrkh)
No comments:
Post a Comment