Monday, October 22, 2012

K'tan Guru Perubahan Politik Negeri2 -Pres PAS

 KOTA BHARU. 22 Okt 12: Kelantan menjadi guru kepada perubahan politik di negeri-negeri lain. 

Hari ini genap 22 tahun usia kerajaan di bawah dasar Membangun Bersama Islam (MBI). Tanggal 22 Oktober 1990 kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah berjaya dibentuk. DAP diwakili Penasihatnya, Lim Kit Siang dan Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nur Manuty merakamkan ucapan tahniah usia 22 tahun kepemimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Begitu juga Presiden PAS dan pelbagai pihak tidak ketinggalan merakam ucapan sama. “Tahniah PAS di Kelantan kerana berjaya mempertahankan kerajaan negeri sehingga melewati tahun ke-22 sekarang,” kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, gabungan PAS bersama Semangat 46, Berjasa dan Hamim berjaya membentuk kerajaan selepas menumbangkan Umno dan BN dengan 39 – 0 di peringkat Dun. “Saya masih ingat selepas Umno dan BN berjaya ditumbangkan di Kelantan, Presiden PAS ketika itu Allahyarham Datuk Fadhil Mohd Nor mengarah diadakan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di Kota Bharu.

“Ketika itu diputuskan Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz supaya menerima jawatan sebagai Menteri Besar.
“Namun pada awalnya beliau tidak mahu dan meminta dicari pemimpin lain. Bagaimanapun jawatankuasa PAS Pusat berkeras supaya beliau menerima juga jawatan Menteri Besar.
“Ini cukup penting bagi melakar satu sejarah baru buat PAS, dan ia terbukti berjaya sekarang,” katanya pada ceramah perdana sempena ulangtahun ke-22 kerajaan Kelantan di Dewan Jubli Perak malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Lim Kit Siang, Dr Muhd Nur Manuty, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat. Ceramah tersebut sepatutnya diadakan di padang perdana, namun disebabkan hujan lebat terpaksa dipindahkan ke dalam Dewan Jubli Perak MPKB BRI.

Orang ramai tetap hadir biar pun keadaan hujan yang mencurah-curah di Kelantan sejak Jumaat lalu. Presiden berkata, kerajaan Kelantan yang diketuai PAS berjaya menempuh pelbagai halangan dan sekatan sepanjang 22 tahun mentadbir negeri ini.

Katanya, Umno mewujudkan juga jawatan JKKK biar pun bidang kuasanya di bawah kerajaan negeri.

“Oleh itu menjadi tanggungjawab rakyat Kelantan untuk terus mempertahankan negeri ini ketika Pakatan Rakyat sedang bergerak ke Putrajaya sekarang.
“Kelantan yang menjadi guru kepada perubahan politik di negeri-negeri lain sekarang mesti terus dipertahankan,” ujarnya.

Sementara Lim Kit Siang yang juga anggota parlimen Ipoh Timur menjelaskan DAP tidak pernah berhasrat menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Kristian.

“Mana boleh kerana perkara yang terkandung dalam  perlembagaan sudah jelas,” katanya menjawab isu yang dibangkit media Umno sebelum ini.

Menurutnya juga kejayaan berganda Kelantan termasuk menjuarai Piala Malaysia seakan-akan memberi isyarat peluang Pakatan mara ke Putrajaya semakin jelas. (Hrkh)

No comments:

Post a Comment