Tuesday, October 23, 2012

Piala Malaysia: K'tan, Apa Ganjaran Pemainnya?



SUKAN
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan mengumumkan ganjaran khas untuk pemain bola sepak negeri yang telah berjaya mengharumkan nama negeri ini pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera Malaysia pada 20 Oktober lalu.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ketika ditemui memberitahu perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat exco Rabu ini dan ianya akan diumumkan selepas mesyuarat itu kepada media.

“Insya Allah, exco yang berkaitan akan membuat pengumuman selepas mesyuarat exco,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily, ketika ditemui di pejabatnya tengah hari tadi bagi mengulas kemenangan berkenaan di samping 22 Tahun Kelantan Meneraju Kemenangan.

Beliau juga turut menyifatkan kemenangan itu juga sebagai hadiah untuk pentadbiran kerajaan Kelantan yang kini genap pada usia 22 tahun setelah kerajaan itu berjaya dibentuk hari ini. Katanya, sebelum ini kerajaan Kelantan telah memberikan tiket umrah kepada pemain, imbuhan kepada jurulatih ketika itu termasuk sebuah rumah kepada penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

“Orang sudah berbuat budi, kita selaku kerajaan tentu saja akan juga berbudi kepadanya,” ujarnya.

Katanya, Islam memang mengajar hambanya membalas budi serta menyenangkan hati mereka, termasuk orang yang memberikan senyuman.

Beliau juga turut mendapat gambaran bagaimana pasukan Kelantan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi juara pada malam itu demi untuk mengharumkan nama negeri.

“Dalam fikiran saya turut terfikir, sekiranya anak muda berusaha menjuarai perlawasan bola sepak setiap musim, begitu juga dengan royalti yang kini juga dituntut oleh anak muda.

“Saya juga berharap kesungguhan bola sepak yang dikuasai anak muda, akan memberi kejayaan juga pada tuntutan royalti oleh anak muda bersama R,” ujarnya.

“Walaupun saya ni dah berusia, tetapi kegembiraan kerana kemenangan itu tidak dapat saya gambarkan dengan perkataan,” ujarnya.

“Bila dah berusia ni memang tak boleh bermain dah, tetapi sewaktu saya muda dulu memang saya ni kaki bola, sewaktu saya duduk di pondok Jertih, saya bermain bola ditendang oleh kawasan saya, menyebabkan lutut saya sampai sekarang masih bermasalah,” ujarnya.

Awal-awa lagi, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada pasukan Kelantan di atas kejayaan menjadi juara Piala Malaysia malamitu. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails