Mee udang banjir di Tanjung Karang hasil dari kolam udang Noh?
JIKAdahulu, mee udang banjir begitu popular di Kuala Sepetang, Taiping, Perak. Teringat ketika pilihan raya kecil Bukit Gantang, rata-rata yang menyertai kempen di sana tidak akan melepaskan peluang untuk singgah menjamu mee udang banjir.
Pada waktu itu juga, peniaga-peniaga di sekitar Bukit Gantang sudah tidak cukup kaki dan tangan melayani kehendak pelanggan yang datang dari seluruh pelusuk negara. Namun kini, warung-warung mee udang banjir sudah mula terbina bagaikan cendawan tumbuh di Kuala Selangor, Tanjong Karang menghala Sungai Besar, berbagai warung mee udang kelihatan yang menanti kunjungan pelanggan.
Tatkala melihat warung-warung tersebut, terus terimbas di fikiran, adakah warung mee udang yang mula rancak di sekitar Tanjung Karang ini mempunyai kaitan dengan wakil rakyatnya? Biarpun kedengaran agak lucu, namun ianya tidak ditolak mentah-mentah bagi sesiapa yang mengetahui kaitan kolam udang dengan wakil rakyatnya, Datuk Seri Noh Omar.
Sekadar untuk bercerita santai berkenaan politik semasa di Tanjung Karang, sudah tentu kaitan kolam udang dengan warung mee udang banjir yang tumbuh melata tidak boleh dipandang sepi.
Berkesempatan menemui Naib Yang Dipertua PAS Tanjung Karang, Misran Serman (gambar), kaitan warung mee udang dengan kolam udang milik Noh Omar itu, katanya sudah pasti menjadi bualan.
"Memang lucu, tapi kalau difikir-fikirkan, mungkin juga ada kaitannya. Mudah dapat udang agaknya," kata beliau, turut ketawa kecil ketika menyuap mee udang yang dipesan.
Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dikatakan memiliki tanah seluas 30 ekar yang disewakan kepada syarikat Pristine Agrofood Sdn. Bhd. pada tahun 1995.
Tanah itu, yang pada mulanya dikatakan berstatus tanah komersial, dan kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian pada 2011 bagi tujuan projek penternakan udang. Dalam siri pendedahan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, berkenaan kolam udang tersebut, secara jelasnya membuktikan wujud 'conflict of interest' memandangkan Noh sendiri merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap urusan pertanian.
Lebih-lebih lagi, apabila pejabat tanah sendiri memaklumkan bahawa kelulusan tanah itu dikeluarkan pada 13 Jun 1995, iaitu dua bulan selepas beliau menjadi ahli parlimen kawasan terbabit. Menurut Misran, isu kolam udang dan Noh ini merupakan satu isu yang benar-benar menyinggung hati penduduk di sekitar kawasan tersebut.
"Kawasan itu tidak boleh diterokai kerana ia tanah simpanan hutan kayu bakau yang dijadikan sebagai penampan dari berlakunya hakisan pantai.
“Sebelum ini apabila penduduk kampung membuat penerokaan hutan akan ditangkap oleh Jabatan Hutan. Dalam jarak 100 meter daripada pantai tidak boleh dilakukan aktiviti pertanian dan ini menyalahi akta alam sekitar,” tegas beliau.
Sayangnya, kata beliau di saat rakyat diminta menghentikan aktiviti mereka, ada pihak lain yang secara senyap-senyap memohon tanah terbabit dan diluluskan. Noh dikatakan membeli tanah itu dengan hanya membayar RM100,000 berbanding harga asal kira-kira RM3 juta pada ketika itu.
Di sebalik siri-siri pendedahan yang dilakukan Ng dan Misran, kedua-duanya menerima notis saman daripada Noh, meminta agar menarik semula kenyataan yang mengaitkan menteri itu dengan kolam udang tersebut. Namun, bagi Misran, Noh tidak berani berhadapan dengan isu tersebut memandangkan satu persatu bukti berupa dokumen rasmi telah dibongkarkan.
"Jika dia (Noh) ingin membawa isu ini ke mahkamah, kita tidak bimbang. Kita ada bukti yang cukup kukuh untuk mendedahkan lebih banyak mengenai isu ini di mahkamah," sahut Misran menutup perbualan petang itu di warung mee udang banjir. (IH/Hrkh)
No comments:
Post a Comment