Jemaah sempurnakan rukun haji
MINA, Arab Saudi - Para jemaah berusaha untuk menyempurnakan ibadah haji semalam apabila mereka melontar jamrah di sini. Semalam merupakan hari kedua terakhir untuk musim haji pada tahun ini. Kebanyakan jemaah akan melontar batu-batu kecil di Jamrah Aqaba, Ula dan Wusta.
Melontar jamrah dilakukan bagi mengingati peristiwa Nabi Ibrahim melontar batu ke arah syaitan. Namun, sebahagian lagi akan berada di sini sehingga hari ini untuk melontar jamrah. Musim haji tahun ini secara rasminya berakhir pada hari ini.
"Saya berharap dapat mengerjakan haji sekali lagi pada masa depan," kata seorang jemaah Iraq, Um Hassan.
"Ia merupakan pengalaman yang hebat," tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan jemaah haji Syria mendoakan kematian Presiden Bashar Al-Assad semasa mereka melontar jamrah semalam. Kumpulan jemaah itu turut membawa bendera yang mewakili perjuangan para penentang Bashar. Mereka turut melaungkan slogan mengecam Bashar ketika berarak ke lokasi melontar jamrah di sini.
"Kami berharap untuk menyaksikan Bashar digantung atau dibakar, digulingkan atau menjadi orang tawanan tidak lama lagi," kata seorang jemaah haji Syria yang membawa alat pembesar suara di depan berpuluh-puluh orang pengikutnya.
Berdasarkan perangkaan rasmi, lebih tiga juta jemaah mengerjakan haji pada tahun ini.
- Agensi
No comments:
Post a Comment