Saturday, November 17, 2012

1,000 Bantah Serangan Israel Ke Atas Gaza


Demo bantah kekejaman Israel di depan pejabat kedutaan Amerika

KUALA LUMPUR: Lebih seribu orang menyertai himpunan bantah serangan dan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap Gaza.

Demostrasi aman yang bermula di Masjid Tabung Haji selepas solat Jumaat kemudiannya berarak dan berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika disertai oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Pertubuhan Himpunan Lepasan Institut Pendidikan Malaysia (Haluan Malaysia) dan Aqsa Syarif.

Timbalan Presiden Ikram, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom yang mewakili badan-badan bukan kerajaan (Ngo) bagi menyerahkan memorandum kepada wakil pihak kedutaan itu memberitahu Amerika Syarikat perlu memainkan peranan untuk menghentikan ketegangan yang berlaku di Gaza.

"Kita terkejut dengan ketegangan yang semakin meruncing telah berlaku antara Israel dan Gaza.

"Serangan berterusan Israel ke atas penduduk Gaza jelas kejam, malah pendiri yang dikeluarkan oleh Israel jelas angkuh yang mana mereka ini meneruskan pencerobohan serta mengisytiharkan perang terhadap penduduk Gaza," jelasnya selepas menyerah memorandum.

Beliau yang pada masa yang sama turut meminta agar Amerika tidak menjadi boneka kepada Israel dan bersikap berat sebelah dalam isu ini. Baginya, sebagai kuasa besar dunia, Amerika perlu perlu menjadi orang tengah dalam mencari jalan penyelesaian kepada isu Palestin.

Peserta himpunan aman itu telah bersurai pada kira-kira jam 3.30 petang tanpa ada sebarang provokasi dan mendapat kawalan yang baik dari pihak polis. Rabu lepas, tentera Israel telah mengebom bandar Gaza Palestin pada malam tahun baru Islam dalam satu misi khas yang dinamakan 'Pillar of Defence' yang sehingga kini membunuh 15 orang termasuk seorang pemimpin kanan Hamas.

Israel melancarkan serangan tersebut kira-kira jam 10 malam (waktu Malaysia) pada Rabu. Selain serangan udara, serangan roket juga dilancarkan dari kapal tentera laut Israel ke penempatan masyarakat Palestin di Gaza. (IH)

No comments:

Post a Comment