Wednesday, November 28, 2012
Esok, Dailog K'tan Dg Masyarat Cina (Salon)
KOTA BHARU: Kesediaan Kerajaan Kelantan berbincang dengan pengusaha salon dan wakil persatuan bagi mencari penyelesaian isu larangan bergunting rambut lain jantina membabitkan masyarakat bukan Islam disambut baik masyarakat Cina.
Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan, Lim Guang Seng (gambar) berkata, enakmen pengawalan kedai gunting rambut uniseks dilaksanakan lebih 20 tahun lalu setelah membuat kajian terperinci.
“Peraturan itu hendaklah dipatuhi kerana tujuan menghalang membiaknya maksiat dan gejala sosial.
“Bagaimanapun masyarakat Cina meminta sedikit kelonggaran supaya dibenarkan kedai salon milik bukan Islam menggunting pelanggan bukan Islam berlainan jantina di tempat yang terbuka seperti di KB Mall.
“Di tempat terbuka tersebut tidak mungkin pengusaha salon mengambil kesempatan menjalankan aktiviti tak bermoral kerana orang ramai dapat melihat dari jauh,” katanya di sini.
Sebelum itu seorang pengurus kedai gunting, Ong Lee Ting dilapor mendakwa terpaksa membayar banyak saman dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam.
Menjelaskan kekeliruan terbabit Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peraturan melarang kedai gunting uniseks sebagai langkah awal kerajaan membendung gejala tidak sihat.
Katanya, peraturan itu diwujudkan bukan kerana sentimen agama, sebaliknya bagi membendung lebih awal gejala tidak baik berlaku. Menurutnya sejak 1991 pihak berkuasa tempatan tidak mengeluarkan sebarang lesen kedai gunting uniseks di Kelantan. Peraturan tersebut di bawah Undang-undang Kecil Kedai Gunting Rambut, Pendandan Rambut Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) 1986.
Kelmarin anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, pertemuan dengan pengusaha salon dan wakil-wakil persatuan masyarakat bukan Islam dijangka dalam masa terdekat. Difahamkan pertemuan itu dijangka diadakan di Kota Darulnaim esok.
Seorang pemimpin masyarakat Cina, Chia Chuan Lay (gambar kiri) berkata, masyarakat Cina di Kelantan sudah faham mengenai peraturan tersebut, namun dibimbangi orang Cina di luar Kelantan kurang faham mengenainya. Oleh itu beliau berharap peraturan tersebut diberi sedikit kelonggaran bagi kedai salon milik bukan Islam dengan pemantauan MPKB BRI untuk mengelakkan berlaku gejala kurang sihat.
Sementara itu Setiausaha Pemuda PAS Kelantan, Mohd Nuri Mat Yaacob berkata, pihaknya berjiwa besar sebarang usaha mengkaji pandangan golongan non Muslim terhadap kewujudan peraturan larangan bergunting lain jantina demi kemaslahatan semua pihak.
“Hakikatnya Pemuda PAS yakin peraturan yang diperkenalkan semenjak 1991 tanpa sebarang bantahan mana-mana pihak menunjukkan bahawa ia sudah diterima secara umum masyarakat di Kelantan,” katanya.
Menurutnya juga media Umno dan Barisan Nasional sengaja memainkan isu berkenaan sebagai langkah terdesak untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu. (IH/Hrkh)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment