PEMIMPIN Hamas, Ismael Haniyeh (gambar) telah mengkritik Presiden Palestin,
Mahmoud Abbas atas komen beliau yang dibuat kepada media Israel,
mengatakan bahawa ia bercanggahan dengan permintaan Palestin yang
dipegang sekian lama.
Ismail Haniyeh berkata Jumaat lalu bahawa kenyataan Abbas yang
menolak hak untuk pulang bagi pelarian Palestin, yang disiarkan di
siaran media Israel, Channel 2, adalah "amat berbahaya".
Dalam komennya yang dibuat Khamis lalu, Abbas menyebut: "Palestin
sekarang bagi saya adalah sempadan pada [19]67 dengan Baitul Muqaddis
Timur sebagai ibu negara . Ia adalah Palestin bagi saya, ia adalah untuk
kini dan selama-lamanya.”
“Saya seorang pelarian tetapi tinggal di Ramallah. Saya percaya
bahawa Tebing Barat dan Gaza adalah Palestin. Selebihnya adalah Israel,”
tambah beliau.
Presiden itu berkata bahawa walaupun dia mahu melihat tempat
kelahiran beliau - Safed, yang kini merupakan sebuah bandar di utara
Israel – namun dia tidak mahu menetap di sana.
"Saya mahu melihat Safed. Ia adalah hak saya untuk melihatnya tetapi bukan hak untuk saya menetap di sana," katanya.
Kenyataan ini dibuat menjelang persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) yang bakal menyaksikan Palestin cuba mendapat
pengiktirafan sebagai sebuah negara. Komen itu kelihatan bertujuan memujuk Israel bahawa rakyat Palestin
tidak menuntut tanah yang diambil Israel pada tahun 1948, dan tidak pula
mahu memerintahnya secara demografi.
Rakyat Palestin berharap undi di PBB akan memaksa Israel untuk
berundur dari sempadan sekarang ke sempadan sebelum perang 1967 atau
menghadapi tindakan undang-undang antarabangsa.
Linah Alsaafin, seorang aktivis di Ramallah, memberitahu Al Jazeera
bahawa kenyataan Abbas "membuktikan bahawa dia tidak memahami rakyat
Palestin".
"Memandangkan jangka presidennya telah tamat sejak 2009, dia tidak
lagi mempunyai legitimasi untuk bertindak atas nama rakyat Palestin dan
mengeluarkan kenyataan yang sedemikian aneh."
"Abbas telah berjaya menyatukan rakyat Palestin dalam membantah
kata-kata beliau, mereka bersatu dalam rasa meluat dan protes," sambung
Alsaafin.
Hamas, bersama-sama rakyat Palestin yang lain, berkata kenyataan
Abbas bermaksud jutaan pelarian dalam peperangan dengan Israel dan
keturunan mereka tidak akan kembali ke tempat asal mereka.
"Ia adalah mustahil bagi mana-mana individu, tanpa mengira siapakah
dia, sama ada orang biasa, presiden, kerajaan, atau pihak berkuasa,
untuk berputus asa dengan Palestin atau untuk melepaskan hak kembali ke
rumah setelah dipaksa keluar, "ujar Haniyeh.
Warga Palestin yang bercakap kepada AP Television Jumaat lalu juga
bersetuju bahawa tiada pelarian yang akan berputus asa dengan tanah air
mereka. (Aljazeera)
"Sesiapa yang telah dipaksa keluar daripada negaranya pada tahun
[19]48 tidak akan berputus asa dengan negaranya," ujar Hisham Farraj,
yang tinggal di kem pelarian Al-Jalazon. (Hrkh)
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Makin jelas HAMAS adalah gerakan Islam (kalau di Malaysia, PAS) tidak se aliran perjuangan asobiah (kalau di Malaysia, UMNO) di Palestin. Hanya boleh mimpi tidur sebantal, tetapi realitinya tidak.
No comments:
Post a Comment