HAFIZ HAMIDUN bakal mengalunkan lagu-lagu termasuk daripada album Zikir Terapi Diri dalam konsertnya di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada 14 November ini.
HALAMAN HIBURANNAMA Hafiz Hamidun, 28, sememangnya sudah tidak asing lagi dalam persada muzik tanah air. Lebih-lebih lagi apabila lagu zikir nyanyiannya, Law Kana Bainana menjadi siulan ramai sejak awal tahun ini.
Lebih memeranjatkan lagi apabila album Zikir Terapi Diri yang mengandungi lagu-lagu zikir termasuk Law Kana Bainana itu berjaya meraih anugerah platinum berkembar empat ekoran pencapaian jualan album yang mencecah angka 60,000 unit.
Ia membuktikan betapa album genre lagu keagamaan masih diminati serta mampu mencuri hati peminat muzik tanah air pada saat ramai penggiat seni yang lain mengeluh dengan pasaran album yang semakin perlahan. Begitu terharu dengan sambutan tersebut, ia telah menjadi antara pendorong buat Hafiz untuk mengadakan konsert sulungnya yang diberi judul, Konsert Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun.
Ia dijadualkan berlangsung pada 14 November ini di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
"Konsert ini santai tetapi ia disuntik pengisian yang serius dan sebab itu kita pilih tarikh persembahan pada malam sambutan Maal Hijrah.
"Ia bermatlamat supaya penonton tidak pulang dengan tangan kosong. Kita jadikan konsert ini berbentuk keinsafan menerusi penyusunan muzik serta dekorasi dalam dewan itu sendiri nanti," ujar Hafiz tentang konsep dan matlamat konsert tersebut.
Tambahnya, zikir-zikir tersebut nanti akan diiringi persembahan orkestra supaya alunan muziknya bukan sahaja dapat didengar, malah supaya ia mampu meresap ke dalam jiwa audiens.
"Saya masih dalam proses menyiapkan 12 buah lagu untuk disusun mengikut rentak orkestra dan setakat ini empat buah lagu telah siap disusun sepenuhnya," ujarnya.
Konsert yang berdurasi 90 minit itu akan memuatkan dua buah zikir baharu yang akan dimuatkan dalam album zikir terbaharunya nanti. Selain Hafiz, artis di bawah naungan syarikatnya, Arteffects International, Izad Mahadi turut serta membuat persembahan pembukaan tirai pada malam tersebut. Konsert yang menelan kos hampir RM150,000 itu dijangka turut menjemput seorang Sheikh yang didatangkan khas dari Yemen, selain seorang penceramah bebas.
Menurut anak kelahiran Perak Darul Ridzuan itu lagi, kekuatan konsert sulungnya itu bukan sahaja bergantung kepada namanya semata-mata tetapi ia lebih kepada matlamat konsert itu untuk memberi mesej yang berguna sempena Maal Hijrah pada tahun ini. Bagi peminat Hafiz yang tidak mahu melepaskan peluang untuk berhibur dengan cara dakwah, tiket boleh terus dibeli dengan harga RM125, RM100, RM75, dan RM50 di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur pada hari konsert iaitu menjelang 14 November ini.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pihak penganjur Arteffects International melalui newmedia@arteffects.com.my atau hubungi talian 012-225 1297 atau 03-7727 1297. (Kosmo)
1 comment:
Alhamdulillah..
Post a Comment